Kejadian nahas pesawat Malaysia Airlines MH17 pada 17 Julai tahun lalu membuka lembaran baharu bagi pasukan penyiasat Malaysia khususnya Polis Diraja Malaysia (PDRM) dalam usaha memantapkan unit Pasukan Pengecaman Mangsa Bencana (DVI) bagi misi-misi seterusnya.

Menurut Ketua Penolong Pengarah Polis Diraja Malaysia, ACP Hussein Omar Khan, pengalaman berdepan lokasi nahas kejadian sedemikian dan cabaran dalam pasukan penyiasatan digunakan sebagai iktibar untuk menstruktur semula operasi pengurusan bencana PDRM.

"Satu pengalaman yang besar tidak dapat dilupakan selama saya bertugas di Malaysia kerana saya tidak pernah jumpa lokasi nahas sebesar itu yang boleh dikatakan sebagai lokasi nahas terbesar di dunia."

"Namun apa yang terdetik kepala saya masa itu bagaimana kita akan buat, berapa ramai akan terlibat, berapa lama akan buat dan apakah ancaman ketika itu.

Boleh buat atau tidak boleh. Jadi itu satu pengalaman yang cukup mendebarkan." katanya ketika ditemui di Persidangan Antarabangsa Forensik Alam Sekitar 2015 anjuran Universiti Putra Malaysia di Putrajaya.

Hussein merupakan salah seorang penyiasat negara pertama yang tiba di lokasi tragedi MH17 di Ukraine untuk mengecam mangsa nahas.

VIDEO: Kejadian nahas MH17 memantapkan PDRM

BACA: MH17: Penyiasat antarabangsa temui 'petunjuk' serpihan peluru berpandu BUK

BACA: MH17: Sebarang penemuan terkini dimuat dalam laporan akhir pada Oktober

Namun katanya, dengan kerjasama daripada pasukan penyiasatan antarabangsa dan Belanda ketika itu, PDRM berjaya memeriksa hampir 99 peratus lokasi nahas termasuk 296 pengecaman positif mangsa.

"Dari segi penemuan serpihan, benda itu bertaburan sekitar kawasan sembilan kilometer dan kita nak tahu di mana serpihan-serpihan itu sebenarnya. Namun dengan bantuan imej satelit yang disediakan pasukan bersepadu penyiasatan, kita dapat pergi ke tempat itu.

Cuma cabaran untuk pergi ke tempat itu, terdapat halangan dari segi keselamatan dan zon konflik. Itu cabaran paling besar sewaktu kita proses lokasi berkenaan," katanya.

Pengalaman itu juga sekaligus menyediakan pasukan DVI untuk berdepan situasi seumpama itu pada masa hadapan.

"Pada dasar kita ada kepakaran cuma dari segi pengurusan kita kena ada penstrukturan semula pengurusan bencana di Malaysia agar kita mampu dan bersedia tangani insiden seumpana ini khususnya dari segi logistik dan kepakaran," katanya.

Pasukan pertama PDRM berlepas ke Ukrain pada 18 Julai dalam tempoh 24 jam selepas nahas berlaku membabitkan 19 anggota polis. Ia diketuai Hussein dan adalah sebahagian daripada 114 petugas yang digerakkan di bawah Majlis Keselamatan Negara (MKN) bagi Operasi Nahas MH17.

Pesawat MH17 ditembak jatuh 17 Julai tahun lalu di ruang udara timur Ukraine semasa dalam perjalanan dari Amsterdam ke Kuala Lumpur.

Seramai 283 penumpang dan 15 anak kapal terkorban termasuk 43 daripadanya adalah rakyat Malaysia dalam nahas berkenaan.