Pengiktirafan UEC jangan dibuat sewenang-wenangnya - Tun Mahathir

Pengiktirafan UEC jangan dibuat sewenang-wenangnya - Tun Mahathir
MAHATHIR: Kita tidak boleh mengambil sistem pihak luar dan mengaplikasikannya tanpa memikirkan bahawa kita merupakan negara yang berbilang kaum. - Astro AWANI / SHAHIR OMAR
PUTRAJAYA: Sistem pendidikan dari luar tidak boleh sewenang-wenangnya diguna pakai di negara ini.

Perkara itu dinyatakan Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad ketika ditanya mengenai pendirian kerajaan Pakatan Harapan (PH) berkaitan Sijil Peperiksaan Bersama (UEC).

Beliau berkata, kerajaan perlu melihat keadaan dan situasi dalam negara ini sebelum membuat sebarang keputusan.
“Kita tidak boleh mengambil sistem pihak luar dan mengaplikasikannya tanpa memikirkan bahawa kita merupakan negara yang berbilang kaum.

"Kita mempunyai beberapa latar belakang yang harus dihormati,” jelas beliau pada sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Presiden PH di sini, pada Sabtu.

Julai lalu, Menteri Pendidikan Dr Maszlee Malik berkata UEC sedang dikaji secara holistik dan terperinci sebelum diiktiraf dalam jangka masa lima tahun.

BACA: Maszlee ulangi pengiktirafan UEC akan dibuat tanpa jejas Bahasa Melayu

Bagaimanapun, dalam jawapan bertulis di Parlimen, Maszlee memaklumkan kerajaan tidak terburu-buru membuat keputusan mengenai UEC dan kementeriannya akan menubuhkan sebuah jawatankuasa bagi mengumpul maklumat berkaitan pengiktirafan UEC.