Selepas dua bulan hilang punca pendapatan untuk menyara keluarga, kumpulan peniaga Uptown Bertam, Kepala Batas dan Bandar Perda, Bukit Mertajam akhirnya menarik nafas lega kerana dibenarkan beroperasi di tapak baru.

Sebelum ini mereka berniaga di dua uptown tersebut namun, tidak dapat mencari rezeki susulan penguatkuasaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bagi membendung COVID-19.

Basiron Shahmat, 54 tahun, antara peniaga yang terpaksa mengikat perut kerana langsung tiada sumber pendapatan selepas Uptown Bandar Perda ditutup.

Dia bagaimanapun bersyukur kerana berpeluang mencari rezeki di musim perayaan selepas ditempatkan semula di Tapak Ekspo Seberang Jaya bermula semalam sehingga 24 Mei ini.

"Sebenarnya, kami cukup terkesan dengan PKP ini, sebab kami biasanya masuk stok awal, dalam sebulan sebelum Ramadan.

"Maknanya, PKP mula 18 Mac, jadi stok kami sudah penuh, jadi kalau kerajaan negeri tidak beri kelonggaran, tidak bagi peluang kepada kami untuk berniaga, memang masalah cukup besar kepada kami peniaga," katanya.

Basiron antara 80 peniaga yang beroperasi di tapak baru yang digelar Uptown Raya dengan kebenaran Majlis Keselamatan Negara (MKN), kerajaan negeri Pulau Pinang dan Majlis Bandaraya Seberang Prai (MBSP).

BACA: Ribut melanda Uptown Bandar Perda, khemah terbang, pokok tumbang

Peniaga kopiah, Najmuddin Ismail, 45 tahun pula sebelum ini berniaga di beberapa lokasi tetapi turut mengalami nasib sama seperti peniaga lain yang kehilangan sumber pendapatan sedangkan stok raya sudah dibeli beberapa bulan lalu.

"Ini merupakan peluang yang begitu penting untuk kita sama-sama dapat menjana pendapatan memandangkan kita hanya ada 10 hari lagi untuk menyambut Aidilfitri.

"Dan kita amat faham tentang kekangan kewangan yang begitu hebat dirasakan oleh semua penduduk, khasnya di Pulau Pinang.

"Alhamdulillah, semoga kita dapat hadir beramai-ramai di sini, program penempatan semula peniaga-peniaga Uptown Bandar Perda dan juga Uptown Bertam," jelasnya.

BACA: 'Saya terpaksa berhutang supaya boleh terus buka gerai' - Peniaga yong tau foo

Sementara itu, jurucakap penganjur, Khairul Ishak memberitahu pihaknya simpati dengan nasib peniaga yang terjejas dengan PKP lalu mengambil inisiatif menempatkan mereka di tapak baru kerana Aidilfitri satu-satunya peluang untuk mereka menjana pendapatan.

Bagaimanapun, semua peniaga dan pengunjung diminta mematuhi prosedur operasi standard (SOP) ketika masuk ke tapak ekspo selain ruang menunggu disediakan bagi mengelakkan kesesakan dalam setiap lot gerai.

"Kita mengikut SOP seperti yang ditetapkan oleh MKN di pasar raya besar dan pasar raya. Setiap seksyen-seksyen ini hanya dibenarkan 50 ke 100 orang maksimum untuk masuk.

"Jadi yang lebih itu terpaksa menunggulah. Kita harap orang ramai yang akan hadir nanti faham SOP yang telah ditetapkan oleh Majlis Keselamatan Negara," katanya.

BACA: Ingkar PKP: Pasar awam pertama di Pulau Pinang diarah tutup tiga hari

Ketika ini Uptown Raya Seberang Jaya merupakan satu-satunya lokasi untuk warga Seberang Prai membeli kelengkapan raya berikutan Karnival Mahabbah, Bertam dan Pasar Borong Kubang Menerong, Tasek Gelugor yang tidak beroperasi.