Perak akan menggubal Enakmen Lambang, Gelaran dan Anugerah (Mencegah Penggunaan Tidak Wajar) Perak 2016 susulan terdapat kes salah guna dan pemalsuan yang dilaporkan kebelakangan ini.

Yang Dipertua Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak, S. Thangasvari berkata rang undang-undang enakmen itu akan dibentangkan pada Mesyuarat Ketiga, Penggal Keempat DUN ke-13 yang bermula Selasa depan sehingga 21 Nov.

Katanya pembentangan rang undang-undang berkenaan akan dibuat Menteri Besar Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir yang juga akan membentangkan Enakmen Perbekalan 2017.

"Untuk Enakmen Lambang, Gelaran dan Anugerah ini ia antara lain akan merangkumi klausa berkenaan hukuman kepada mereka yang bersalah," katanya dalam sidang media menjelang persidangan DUN di sini pada Jumaat.

Pada Februari lepas, Zambry mendedahkan wujud pihak di Perak yang bergiat aktif dan bebas mengurniakan bintang dan darjah kebesaran palsu dengan menggunakan nama istana.

Ditanya harapannya untuk mesyuarat kali ini, Thangasvari berharap tiada sebarang gangguan berlaku terutama semasa sesi perbahasan kerana Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) adalah mewakili suara rakyat.

"Rakyat mengharapkan sesuatu yang bermanfaat untuk mereka. Jadi saya harap wakil-wakil rakyat dapat membawa isu rakyat," katanya.

Thangasvari merupakan wanita pertama dilantik menjadi Speaker DUN Perak pada Ogos lalu bagi menggantikan Datuk Seri SK Devamany yang dilantik sebagai Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri.

-- BERNAMA