Langkah proaktif untuk mengubah persepsi, bahawa pelantikan Speaker Dewan hanya untuk memudahcarakan urusan kerajaan memerintah, perlu dilaksanakan segera.

Penganalisis politik dari Universiti Teknologi Mara (UiTM), Mujibu Abdul Muis berkata, selain berperanan sebagai institusi meluluskan dasar dan undang-undang, Parlimen juga harus dikekalkan fungsinya untuk menyemak dan mengimbang pentadbiran kerajaan.

“Seperti yang kita mahukan, memang perlu rejuvenasi dan suntikan baharu dalam konteks Speaker, apabila Speaker tidak lagi mengikut acuan lama, iaitu perlu pro dan juga selari dengan parti pemerintah (semata-mata), dan tidak lagi menjadi Parlimen itu sebagai rubber stamp meeting yang akhirnya menjadikan Parlimen itu sekadar alat menjustifikasi tindakan kerajaan.

“Saya mahu lihat Parlimen benar benar berfungsi, telus yang berani dan terbuka untuk berikan ruang dan peluang kepada ahli Parlimen sama rata, jadikan isu penting jadikan parlimen sebagai tempat sebenar-benarnya dibahaskan, yang dijelaskan dan kemudian diberikan penerangan kepada rakyat,” katanya lagi.

Melalui pelantikan Speaker yang neutral dan berwibawa, Mujibu berkata, perbahasan dan pendebatan dalam sesuatu perkara itu akan menjadi berkualiti.

Beberapa laporan media menyebut Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin pada 26 Jun lepas menghantar usul untuk menukar Speaker Tan Sri Mohamad Ariff Md Yusof dan Timbalannya, Nga Kor Ming.

Mohamad Ariff, ketika dihubungi mengesahkan telah menerima usul mencadangkan khidmatnya bersama Kor Ming ditamatkan, selari peraturan majlis mesyuarat.

BACA: Mohamad Ariff sahkan terima usul cadang khidmat beliau sebagai Speaker ditamatkan

BACA: Ahli Parlimen PH bantah usaha tukar Speaker Dewan Rakyat, Timbalan

Mengulas lanjut, Mujibu berkata, secara idealnya, kuasa badan Eksekutif dan Legislatif seharusnya dipisahkan bukan sahaja di atas kertas, tetapi juga secara realiti.

"Tidak ada persoalan dalam konteks memilih kerana itu adalah perkara diperuntukkan undang undang di mana ahli dewan rakyat atau wakil rakyat kita ada kuasa pilih.

“Tapi dalam konteks memilih itu setiap ahli parlimen saya rasa perlu ada jiwa yang besar untuk memilih speaker yang benar benar memenuhi kehendak dan semangat Parlimen itu sendiri," katanya lagi.