Sedikit perubahan dalam pelan reka bentuk penghubung pejalan kaki bawah tanah antara Stesen MRT dan LRT Ampang Park akan menyelamatkan kompleks itu dari dirobohkan.

Bagaimanapun kenyataan MASS Rapid Transit Corporation Sdn Bhd (MRT Corp) menjelaskan, terowong untuk tren MRT perlu dibina di bawah Pusat Membeli-belah Ampang Park.

"Kerja-kerja pengukuhan juga perlu dijalankan untuk mengubah suai struktur asas Ampang Park bagi membolehkan kerja pembinaan yang selamat bagi laluan bawah tanah.

"Kawasan parkir bawah tanah yang terjejas akan diperlukan sehingga 36 bulan, manakala kawasan tingkat aras bawah yang terjejas akan diperlukan sehingga 18 bulan.

"Perniagaan yang beroperasi di kawasan yang terjejas perlu ditutup untuk tempoh pembinaan dan pampasan yang sewajarnya akan dibayar," jelas kenyataan itu.

Ampang Park dibina pada 1972 dan dibuka kepada orang ramai pada 15 Mac 1973, menjadikannya kompleks beli belah pertama di Malaysia dengan keseluruhan 250 lot premis yang menjual pelbagai jenis barangan keperluan dan kehendak selain perkhidmatan untuk warga kota.

Ia dibangunkan oleh syarikat Low Keng Huat Brothers Realty Sdn Bhd berikutan kejayaan projek pertamanya di Singapura, People's Park yang dibuka pada 1968.

Bagaimanapun ujar kenyataan itu, bagi lot kedai lain yang tidak terjejas oleh kerja pembinaan, mereka boleh beroperasi seperti biasa.

"Pilihan reka bentuk semula itu akan menjadikan pengguna tren MRT dan LRT perlu berjalan lebih jauh berbanding dengan reka bentuk asal apabila bertukar antara Stesen MRT Ampang Park dan Stesen LRT Ampang Park.

"Namun penghubung sambungan kawasan berbayar MRT dan kawasan berbayar LRT akan dikekalkan.

"MRT Corp kini memerlukan persetujuan daripada 100 peratus pemilik unit strata untuk Perjanjian Bersama dilaksanakan dan dimuktamadkan serta ditandatangani pada 31 Januari 2016," jelas kenyataan itu.

Sebelum ini, Timbalan Presiden Persatuan Peniaga Satu Malaysia Ampang Park, Wan Kamal Izzuddin Wan Kassim berkata, ada peniaga di Ampang Park yang mengalami tekanan emosi selepas mengetahui kompleks itu akan diruntuhkan dan dijadikan tapak pembangunan stesen serta laluan Transit MRT.

Kata Wan Kamal Izzuddin, mereka kini buntu apabila kehilangan pelanggan selain memikirkan kerugian yang akan ditanggung kelak.