Dua rakyat Malaysia yang telah meninggalkan Pyongyang pagi tadi dijangka tiba di tanah air 10.20 malam ini.

Petugas Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Program Makanan Sedunia (WFP), Stella Lim dan Nyanaprakash Muniandy dilaporkan menaiki pesawat Air China 871 dari Beijing menuju ke Kuala Lumpur 3.50 petang tadi.

Wartawan Astro AWANI, Hilal Azmi kini berada di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) bagi membawakan perkembangan terkini ketibaan dua rakyat Malaysia tersebut.

BACA: Saya tahu anak saya di Pyongyang dalam ketakutan - Ibu Iza

Kira-kira pukul 4 petang tadi, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak menerusi laman sosial Twitternya mengesahkan kedua-dua mereka selamat tiba di Beijing dari Pyongyang.

Pada masa sama, jurucakap WFP mengesahkan perkara itu tetapi enggan mengulas lanjut.

BACA: Stok makanan halal rakyat Malaysia di Korea Utara terbatas, bertahan kurang seminggu

Sebelum ini, BERNAMA melaporkan Ibu Pejabat PBB akan membantu melicinkan proses membawa keluar dua petugas mereka yang juga rakyat Malaysia di Korea Utara.

Selasa lalu, Korea Utara mengeluarkan arahan melarang rakyat Malaysia meninggalkan negara itu dan sebagai tindak balas Malaysia turut mengambil tindakan sama terhadap rakyat Korea Utara di negara ini.

Kementerian Luar Malaysia memberitahu seramai 11 rakyat Malaysia di Korea Utara, terdiri daripada tiga kakitangan kedutaan, enam ahli keluarga dan dua pekerja PBB.