Jangan tersalah anggap kanak-kanak berusia setahun lima bulan tidak pandai membuka pintu rumah khususnya pintu gelongsor yang tidak berkunci.

Demikian dilakukan oleh seorang kanak-kanak lelaki pada usia tersebut, hingga mengakibatkannya maut.

Kejadian dikatakan berlaku pada pukul 5.15 petang semalam semasa mangsa berada bersama ibunya di unit kediaman di tingkat empat Kompleks Desa Tentera Darat, Sungai Panching di sini.

Sumber menyatakan mangsa dikatakan dapat membuka pintu gelongsor dan bermain di beranda tanpa disedari oleh ibunya.

Kanak-kanak itu kemudian dipercayai memanjat landasan besi penghadang di berandah menyebabkannya tergelincir lalu terjatuh ke tanah.

"Kejadian itu disedari oleh bapanya yang sedang mencuci kereta di situ yang segera membawa mangsa ke Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) di sini dan ia difahamkan berada dalam keadaan stabil," katanya semasa dihubungi hari ini.

Ketua Polis Daerah Kuantan Supt Mohamad Noor Yusof Ali semasa dihubungi mengesahkan kejadian namun tidak memberikan maklumat lanjut.

-- BERNAMA