Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak akan membawa isu berkaitan etnik Rohingya kepada perhatian Presiden Amerika Syarikat Donald Trump ketika pertemuan mereka yang dijadualkan pada minggu hadapan.

"Ya, saya mungkin akan bawa perkara ini kepada beliau (Trump)," jawab Datuk Seri Najib ketika ditanya sekiranya beliau akan memaklumkan Trump berhubung isu Rohingya.

Datuk Seri Najib pada masa sama mengulangi pendirian kerajaan bahawa hak etnik Rohingya perlu diperjuangkan dan kerajaan terus komited dalam hal tersebut.

"Ini merupakan antara perkara yang diputuskan dalam Mesyuarat Majlis Tertinggi Barisan Nasional pada hari ini," kata beliau selepas mempengerusikan mesyuarat tersebut pada petang Jumaat.

Datuk Seri Najib akan mengadakan lawatan kerja ke Washington atas jemputan Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump pada 12 September depan.

Kementerian Luar Negeri menerusi satu kenyataan telah berkata pertemuan antara dua pemimpin itu adalah untuk mempertingkatkan hubungan diplomatik antara Malaysia dan AS.