Pasukan mencari dan menyelamat (SAR) akan mengadakan bacaan Yasin di sekitar kawasan pondok yang dipercayai menjadi lokasi terakhir Jashiah Rabu dikesan, esok.

Timbalan Ketua Polis Daerah Hulu Selangor DSP Abdul Rahman Yahya Zikri berkata bacaan Yasin itu akan dikendalikan Unit Bahagian Agama dan Kaunseling, Polis Diraja Malaysia (PDRM).

"Kita menggunakan khidmat pasukan paranormal PDRM sebagai ikhtiar selepas semua usaha dilakukan untuk mencari Jashiah sejak 12 hari lepas menemui jalan buntu," katanya kepada pemberita di pusat operasi di Kampung Buluh Telur, di sini, hari ini.

Abdul Rahman berkata 40 anggota daripada PDRM, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM) dan RELA akan menyertai bacaan Yasin untuk guru besar Sekolah Kebangsaan Taman Keramat Satu itu, yang hilang sejak 15 hari lepas di Taman Seri Seruling di sini.

BACA: Anak bongsu guru besar yang hilang, rindu untuk berbual dengan ibunya

BACA: Guru Besar hilang: Apa yang kita tahu setakat ini?

BACA: Guru Besar hilang ketuk pintu rumah Orang Asli minta makanan - Anak

Mengenai operasi hari ini, beliau berkata 73 anggota daripada PDRM, JBPM, JPAM, PegawaiPendidikanDaerah, individu termasuk pasukan Radio Amatur dan Paramotor, menumpukan pencarian di kawasan ladang serta sekitar pondok itu.

Jashiah kali terakhir dilihat jiran keluar dari rumahnya pada petang 23 Okt lepas, dan apabila suaminya Ruzilan Omar, 57, pulang didapati pintu rumah mereka terbuka dan Jashiah tiada di rumah.

Difahamkan, Jashiah menghala ke kawasan hutan simpan Bukit Kutu selepas keluar daripada rumahnya di Taman Seri Seruling, dengan berjalan kaki dan menumpang kereta orang lain sejauh kira-kira 10 kilometer.