Polis Thailand mendakwa 129 penjenayah dari selatan negara tersebut disyaki berlindung di Malaysia.

Ketua Polis Wilyah Narathiwat, Dusedee Susangkit berkata penjenayah yang berlindung di Malaysia itu terlibat pelbagai kesalahan termasuk pengedaran dadah dan pembunuhan.

"Kebanyakannya menggunakan 'jalan tikus' untuk keluar masuk (sempadan Thailand-Malaysia) dan mungkin masih aktif khususnya dalam kegiatan penyeludupan di sempadan.

"Mereka semua dalam pemerhatian dan kami sentiasa bekerjasama dengan pihak berkuasa di Malaysia untuk mengesan mereka," katanya kepada Malaysiakini.

Menurut Susangkit, semua suspek itu mempunyai waran tangkap dan ia memudahkan usaha menangkap mereka yang diburu dengan bantuan Polis DiRaja Malaysia (PDRM).

Sementera itu, Susangkit juga berkata pihaknya bersedia meningkatkan kawalan keselamatan jika Malaysia dan Thailand membuka laluan di sempadan 24 jam.

Kerajaan Malaysia dan Thailand setuju untuk membuka pintu sempadan selama 24 jam sehari demi menggalakkan perdagangan antara kedua-dua negara.

Perkara tersebut dipersetujui ketika lawatan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad ke Bangkok pada Oktober lalu.