Kerajaan bakal melancarkan Program MYHaus bagi membantu kumpulan sasar untuk mendiami rumah yang lebih selamat, selesa dan secara tidak langsung dapat meningkatkan kualiti hidup kumpulan sasar.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri program yang bakal dilancarkan pada Ogos itu mampu meningkatkan kualiti hidup kumpulan sasar itu secara fizikal dan spiritual.

"Program ini menyediakan bantuan kewangan melalui dana wakaf bagi membolehkan kumpulan sasar mendiami rumah yang lebih selamat dan selesa berbanding tempat kediaman terdahulu.

"Komponen projek dibawah MYHaus terbahagi kepada beberapa kategori antaranya membina semula rumah, bina baharu, membaik pulih rumah dan membaiki kerosakan rumah.Semuanya bakal disiapkan dalam tempoh lebih kurang 10 hari sahaja," katanya dalam sidang media sempena 100 hari menjawat jawatan sebagai Menteri di JPM di Masjid Mahmoodiah, Presint 18 di sini, hari ini.

"Selain pembinaan rumah, isu seperti kebersihan, pendidikan seks menurut Islam dan aktiviti kerohanian adalah keutamaan program terbabit," katanya dalam ucapannya sempena 100 hari menjawat jawatan sebagai Menteri di JPM, di Masjid Mahmoodiah, Presint 18, di sini, hari ini.

Dr Zulkifli pada masa sama, turut memperkenalkan Anugerah Khas Imam Al-Ghazali, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) bagi menghargai penjawat awam dibawah jabatan itu yang menunjukkan prestasi cemerlang.

"Saya ingin memperkenalkan Anugerah Khas Imam al-Ghazali, Menteri di JPM (Hal Ehwal Agama) khusus bagi penjawat awam dalam agensi-agensi dibawah saya yang memperlihatkan budaya kerja yang cemerlang, produktif, kompetitif dan seimbang duniawi dan ukhrawi.

Dalam sidang media sama, Menteri Hal Ehwal Agama itu turut menjelaskan bahawa Pegawai Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) akan ditempatkan di pejabatnya bagi memastikan urustadbir sentiasa dipantau dan efektif.

"Selain perubahan baharu dengan penempatan pegawai Tabung Haji dan Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) di Pejabat Menteri di JPM (Hal Ehwal Agama).

"Bagi tujuan pemantauan urus tadbir yang lebih efektif, saya ingin mengumumkan bahawa saya berhasrat menempatkan pegawai SPRM di pejabat saya. Hal ini sedang dalam proses dan akan direalisasikan sedikit masa lagi, Insyallah," katanya.

Mengulas mengenai pencapaian 100 hari beliau, Zulkifli berkata, pihaknya sudah menggerakkan usaha kebajikan melalui #MusaadahCOVID19 bagi membantu masyarakat dalam memerangi penularan pandemik itu di negara ini.

Menurutnya, #MusaddadCOVID19, Kementeriannya sudah menyalurkan sumbangan kepada 10 kelompok sasar yang memerlukan bantuan dengan perbelanjanaan RM196.3 juta.