Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC) memberitahu prosiding mereka disabotaj selepas 'kehilangan' beberapa panel menjelang inkuiri terhadap syarikat sarat hutang 1Malaysia Development Berhad (1MDB) yang dijadual bermula hari ini.

Naib pengerusinya Dr Tan Seng Giaw berkata, mereka dijadualkan memanggil Presiden dan Pengarah Eksekutif Kumpulan 1MDB Arul Kanda Kandasamy serta bekas Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) 1MDB Datuk Shahrol Azral Ibrahim Halmi hari ini dan esok.

"Sementara bekas CEO 1MDB Hazem Abdul Rahman yang berkhidmat dari Mac 2013 hingga Januari 2015 akan dipanggil selepas ini.

"PAC sengaja digantung dan semuanya sudah dijangka, ini satu sabotaj," katanya ketika dipetik The Malaysian Insider, hari ini.

BACA: Anggota PAC menjadi anggota Kabinet, apa masalahnya? - Rahman Dahlan

VIDEO: Kerajaan tidak boleh henti siasatan PAC ke atas 1MDB

Sebelum ini, bekas Pengerusinya, Datuk Nur Jazlan Mohamed berkata semua prosiding PAC untuk Ogos, termasuk siasatan terhadap 1MDB akan diberhentikan buat sementara waktu disebabkan lantikan Kabinet.

Katanya, ia hanya akan diteruskan selepas ahli jawatankuasa (AJK) baharu diumumkan pada persidangan Dewan Rakyat akan datang pada Oktober.

Dalam pada itu kata Seng Giaw, mereka mahu terus meneruskan prosiding itu walaupun speaker Tan Sri Pandikar Amin Mulia berkata prosiding siasatan skandal kerugian RM42 bilion 1MDB tidak boleh diteruskan sehingga pengerusi PAC yang baharu dilantik.

Selain Nur Jazlan, yang kini Timbalan Menteri Dalam Negeri, tiga yang lain ialah Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican (Timbalan Menteri Luar), Datuk Mas Ermieyati Samsudin (Timbalan Menteri Pelancongan dan Kebudayaan) dan Datuk Wilfred Madius Tangau (Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi).

Sebelum ini, Arul dikritik hebat kerana tidak menghadiri sesi pendengaran PAC menegaskan dia berada di luar negara ketika itu.

Bagaimanapun Arul mengesahkan bertemu Pengerusi Majlis Ahli Parlimen Barisan Nasional (BNBBC) Tan Sri Shahrir Samad sehari selepas tarikh itu di Kuala Lumpur, tetapi mengatakan pertemuan itu diadakan hanya selepas dia pulang ke Malaysia.

VIDEO: Tiada ruang bagi kerajaan sembunyi maklumat siasat 1MDB

BACA: Apa yang kita tahu tentang siasatan PAC ke atas 1MDB?