Tutup

PSS perlu dikaji sebelum dilaksanakan

PSS perlu dikaji sebelum dilaksanakan
ASRI: Sepatutnya kerajaan tidak boleh tergesa-gesa perkara ini. - Astro AWANI
BONGAWAN: Kerajaan Negeri Sabah disarankan supaya mengkaji semula pelaksanaan Pas Sementara Sabah (PSS) sebelum ia dikuat-kuasakan pada Jun ini.

Pensyarah Kanan (Hubungan Antarabangsa), Fakulti Sains Pentadbiran dan Pengajian Polisi Universiti Teknologi Malaysia (UiTM) Sabah, Dr Asri Salleh berpandangan sistem pentadbiran PSS perlu diperkemaskan terlebih dahulu sebelum ia dilaksanakan.

Ini kerana, ia dibimbangi disalah guna oleh pihak tertentu yang boleh menjejaskan matlamat asal pelaksanaan dokumen itu.

“Sepatutnya kerajaan tidak boleh tergesa-gesa perkara ini. Dia (kerajaan Negeri) sepatutnya betul-betul membuat kajian dan mereka masih ada masa tiga tahun (sebelum Pilihan Raya Umum ke-15).
“Sepatutnya selesaikan dahulu masalah PTI (pendatang tanpa izin) yang ada, selesaikan yang ini, kemudian buat kajian dan barulah laksanakan PSS,” katanya kepada Astro AWANI,  di sini, pada Rabu.

Seperti yang dijelaskan kerajaan, Dr Asri mengakui pelaksanaan PSS adalah bagi menggantikan tiga dokumen yang telah diguna pakai sejak sekian lama di Sabah membabitkan warga asing.
Ia membabitkan Kad Burung-Burung, Kad Banci, dan IMM13.

Ujarnya, PSS adalah idea lama yang sebelum ini pelaksanaan dokumen itu dipanggil sebagai “Pass Residency”.

BACA: PSS selesaikan masalah PATI, bukan untuk jadi warganegara - Muhyiddin

BACA: Isu PSS: Pemimpin Warisan jangan keliru - Abdul Rahman Dahlan

BACA: Tunai janji PRU14 sebelum Warisan mahu laksana PSS - Mohd Shahar

Bagaimanapun, beliau berpandangan kerajaan wajar melaksanakan townhall (sesi penerangan) dan turun padang  bagi memberikan penerangan terperinci mengenai PSS.

“Selepas itu barulah kerajaan fikirkan sama ada PSS ini patut diteruskan atau ditambah baik ataupun digantikan dengan satu inisiatif yang lain.

“Sekarang ini segala persoalan disebabkan oleh ketidakfahaman dan ia menyebabkan rakyat menjadi takut,” jelasnya.

Terdahulu, Menteri Dalam Negeri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, PSS merupakan langkah yang terbaik untuk menyelesaikan masalah PATI dan bukannya sebagai lesen menjadi warganegara sebagai mana didakwa sesetengah pihak.


Tag: kerajaan negeri sabah, PSS, pas sementara sabah, dr asri salleh, kimanis memilih, prk kimanis, pilihan raya kecil



Komen Anda?

* Klik pada "Sort by" untuk kemaskini komen

PENAFIAN:
Astro AWANI tidak bertanggungjawab terhadap pendapat yang diutarakan melalui artikel ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri. Terima kasih.