Ketua Puteri UMNO, Datuk Mas Ermieyati Samsudin hari ini membuat laporan polis terhadap portal Sarawak Report dan akhbar kewangan antarabangsa, The Wall Street Journal (WSJ) susulan laporan yang dikatakan menjatuhkan reputasi perdana menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.

Tegasnya, laporan yang mengatakan terdapat syarikat mempunyai kaitan dengan 1Malaysia Development Berhad (1MDB) telah menyalurkan dana sebanyak AS$700 juta (RM2.6 bilion) ke akaun peribadi Najib merupakan tuduhan yang berniat jahat serta memburukkan kerajaan.

"Ia cubaan menggugat keyakinan rakyat rakyat negara ini serta dunia kepada Najib dan kerajaan Barisan Nasional (BN).

"Kita mahu laporan media ini disiasat kerana ia merupakan satu bentuk khianat, kotor dan tidak mempunyai sebarang bukti kukuh," katanya kepada Astro AWANI di sini hari ini.




Laporan polis terhadap Sarawak Report dan WSJ dibuat di Balai Polis Masjid Tanah pada 11 pagi Sabtu. -Sumber gambar Mas Ermieyati


Pada Jumaat, negara digemparkan dengan laporan berita WSJ yang mendedahkan apa yang didakwa sebagai penemuan oleh penyiasat Malaysia yang kononnya telah mengesan hampir AS$700 juta didepositkan ke dalam apa yang mereka percaya sebagai akaun bank peribadi Najib.

Laporan itu berdasarkan dokumen-dokumen daripada siasatan kerajaan yang diperoleh akhbar itu dan laman web Sarawak Report.

BACA: Dakwaan WSJ tanpa bukti kukuh tidak boleh diterima - Khairy

Dalam pada itu, Mas Ermieyati juga berharap agar laporan itu menjadi permulaan siasatan ke atas pihak-pihak yang bertanggungjawab di dalam penerbitan artikel berkenaan.

"Saya juga menggesa Najib dan Bank Negara segera membuat laporan polis demi menegakkan keadilan," katanya.

BACA: Ihsan Perdana nafi pindahkan wang ke dalam akaun Najib

Sebelum ini Pengarah Urusan Ihsan Perdana Sdn Bhd, Datuk Dr Shamsul Anwar Sulaiman menafikan ada memindahkan wang ke dalam sebarang akaun individu termasuk milik Najib.

Ujar Dr Shamsul, dakwaan bahawa syarikat itu memindahkan wang untuk program Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR) ke dalam akaun peribadi Najib adalah tidak berasas.