Rampasan dadah RM30.4 juta dilarikan, 2 pegawai kastam direman

Rampasan dadah RM30.4 juta dilarikan, 2 pegawai kastam direman
Subromaniam Tholasy tidak menafikan penglibatan orang dalam dalam insiden rompakan dadah yang dirampas bernilai RM30.4 juta awal pagi ini. -Gambar fail
SEREMBAN: Ketua Pengarah Kastam, Datuk Seri Subromaniam Tholasy tidak menafikan penglibatan ‘orang dalam’ dalam insiden rompakan dadah yang dirampas bernilai RM30.4 juta awal pagi ini.

Dadah berkenaan dilarikan sekumpulan individu yang memecah masuk premis Cawangan Narkotik Jabatan Kastam Diraja Malaysia Negeri Sembilan di Nilai, dekat sini.

“Setakat ini lima individu termasuk dua pegawai kastam ditahan reman polis,” katanya ketika dihubungi Astro AWANI.
Jelas beliau, kawalan keselamatan di premis simpanan barangan rampasan juga telah dipertingkat.

Tambahnya, kastam sedang bekerjasama dengan polis untuk menjalankan siasatan sebelum sebarang kenyataan lanjut dikeluarkan.

Dalam kejadian pukul 3 pagi tadi, 10 lelaki bertopeng menaiki dua buah kenderaan pacuan empat roda dan sebuah kereta memasuki premis yang menempatkan dadah yang dirampas JKDM di Kampung Jijan, Nilai.

Suspek mengikat dua pengawal keselamatan sebelum melarikan 80 kotak dipercayai mengandungi dadah yang disimpan di dalam sebuah kontena.

Ketua polis daerah Nilai, Superintenden Zaldino Zaludin mengesahkan telah menerima laporan.