Bekas Ketua Setiausaha Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah (KKLW), Datuk Mohd Arif Ab Rahman dan anak lelakinya mengaku tidak bersalah hari ini atas tuduhan bersubahat dan rasuah berjumlah RM550 ribu tahun lalu.

Ia membabitkan projek bekalan elektrik luar bandar untuk sistem solar hibrid di empat buah pulau terpencil di Sandakan Sabah secara rundingan terus bernilai RM57 juta kepada Syarikat Eramas (M) Sdn. Bhd.

Tertuduh berusia 59 tahun yang dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Azura Alwi.


Mengikut pertuduhan, Mohd Arif didakwa bersubahat dengan anak lelakinya, Ahmad Zukhairi, menerima suapan wang tunai RM550 ribu daripada Pengarah Syarikat Wazlina Sdn. Bhd., Mohd. Safian Mohd Salleh.

Suapan itu adalah sebagai upah untuk Mohd Arif dan Ahmad Zukhairi melakukan transaksi membabitkan kementerian itu.

Kesalahan itu didakwa dilakukan di Royal Lake Club, Jalan Cenderamulia, antara jam 4 petang dan 7 petang 23 Ogos tahun lalu.

Pertuduhan dibuat mengikut seksyen 16(a)(b) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 dibaca bersama seksyen 28(1)(c) akta sama.

Sabit kesalahan mereka boleh dihukum mengikut seskyen 24 akta sama yang membawa hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda minimum lima kali ganda jumlah suapan.

Hakim membenarkan kedua-dua tertuduh dijamin masing-masing sebanyak RM200 ribu dengan seorang penjamin dan pasport diserahkan kepada mahkamah.