Festival kebudayaan dan pelancongan, Regatta Lepa Semporna yang memasuki tahun ke-25 tahun ini akan diadakan dalam suasana lebih meriah.

Pembantu Menteri Kewangan negeri, Datuk Ramlee Marahaban berkata sempena usia sambutan Regatta Lepa yang telah memasuki usia Jubli Perak pastinya pihak kerajaan negeri merancang dan mengadakan sambutan yang lebih gilang-gemilang pada tahun ini.

"Kita di pihak kerajaan negeri pastinya merancang satu sambutan Regatta Lepa yang lebih meriah memandangkan tahun ini masuk kali ke-25 iaitu Jubli Perak," kata Ramlee.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Pusat Transformasi Komuniti Bergarak (Mobile CTC) di Padang Bandaran Semporna pada Sabtu.

Sebelum ini, timbul desas-desus yang mengatakan festival Regatta Lepa yang akan sinonim dengan masyarakat Bajau Semporna diadakan di dearah itu tidak akan diteruskan bagi tahun ini.

Festival Regatta Lepa yang disambut setiap tahun di Semporna mempamerkan kekayaan adat dan budaya suku kaum Bajau yang menyaksikan ribuan pelancong dari luar dan dalam negara.

Mengulas mengenai program itu, Ramlee berkata Mobile CTC Semporna membawa secara lebih dekat perkhidmatan kerajaan kepada rakyat melalui kaedah yang lebih menarik serta mudah diakses oleg rakyat Semporna.