Raptai kemuncak sambutan Hari Malaysia 2019 yang berlangsung di Stadium Perpaduan Petra Jaya, di sini, malam ini berjalan lancar.

Malah, majlis gilang-gemilang yang dijadual berlangsung secara rasmi pada malam 16 September (esok) bakal menjanjikan seribu kelainan dan penuh simbolik kepada seluruh rakyat Malaysia.

Persembahan di dalam stadium tertutup itu bermula kira-kira pukul 8 malam dengan menyaksikan beberapa acara termasuk latihan kawat membawa dan menaikkan bendera Jalur Gemilang oleh Tentera Laut Diraja Malaysia.

Turut hadir menyaksikan raptai penuh ialah Menteri Bertanggungjawab yang juga Timbalan Ketua Menteri Sarawak, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan.

Lebih menarik perhatian ialah murid-murid Sekolah Kebangsaan Encik Buyong, Kuching yang mengibarkan Jalur Gemilang, Bendera Sabah dan Sarawak.

Difahamkan, setakat ini pergerakan enam buah kereta berhias di luar kawasan stadium masih belum dimuktamadkan.

Majlis sambutan Hari Malaysia 2019 peringkat nasional yang diadakan di bandaraya ini akan dihadiri oleh Yang di-Pertua Negeri Sarawak, Tun Abdul Taib Mahmud dan isteri, Toh Puan Raghad Kurdi Taib.

Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad juga dijangka hadir pada acara berkenaan.

Sambutan Hari Malaysia 2019 pada tahun ini bertemakan Sayangi Malaysiaku: Malaysia Bersih.