Jabatan Pendaftar Pertubuhan (ROS) perlu menyiasat kemungkinan ada pertubuhan bukan kerajaan (NGO) atau pemimpin politik yang menyokong dan melindungi pendatang asing tanpa izin (PATI) di negara ini.

Presiden Pertubuhan Ikatan Usahawan Kecil dan Sederhana Malaysia (Ikhlas), Mohd Ridzuan Abdullah berkata, NGO itu mungkin didalangi pihak luar atau dibiayai sumber kewangan negara tertentu atau hasil kutipan wang perlindungan daripada PATI.

Tegasnya, pihak polis juga diminta bersama-sama bertanggungjawab menjaga kedaulatan negara dan memastikan pihak yang bersubahat dalam menggugat keamanan negara dalam isu PATI ditangkap serta dihadap ke mahkamah.

“Terlalu banyak warga asing yang menjadi PATI. Mereka dari pelbagai negara dan mungkin ada yang menjadi perisik untuk tujuan tertentu. Kita perlu mengambil iktibar bagaimana tentera Portugis, Jepun dan lain-lain semasa menyerang Tanah Melayu dahulu yang datang sebagai pedagang dan pekerja sambil membuat risikan.

“Adalah diingatkan kepada POS untuk menyiasat latar belakang NGO yang terlibat serta sumber kewangan mereka.

“Kita juga menyeru pihak cawangan khas Bukit Aman untuk menyiasat jika ada pemimpin politik yang terlibat terutama berkaitan dengan isu Rohinga. Mereka juga perlu disiasat di bawah seksyen Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran (Atipsom) 2007 dan Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-langkah Khas) 2012 (SOSMA),” katanya dalam satu kenyataan di sini, pada Jumaat.

BACA: 103 kes baharu, majoriti adalah kluster baharu pekerja asing

BACA:
Mencari penyelesaian kemelut kediaman pekerja asing

Terdahulu, Mohd Ridzuan membuat laporan polis mengenai isu berkenaan di Ibu Pejabat Polis Dang Wangi.

Turut bersama Mohd Ridzuan, Timbalan Pengerusi Persatuan Pembangunan Ekonomi Peniaga-peniaga Kecil Kuala Lumpur, Mohamed Hasnizam Ishak dan Penasihat Undang-undang IKHLAS, Datuk Md Azar Irwan Mohd Arifin.

Jelasnya, laporan itu dibuat terhadap pemimpin politik, NGO-NGO dan aktivis Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (SUHAKAM) yang membantah proses penangkapan PATI bagi membendung wabak COVID-19 di negara ini.

Katanya, kumpulan itu turut membantah proses penghantaran pulang serta menuduh kerajaan bertindak tanpa berperikemanusiaan terhadap PATI.

“IKHLAS dan beberapa NGO lain menyokong tindakan kerajaan mengawal penularan COVID-19 terhadap PATI adalah yang terbaik.

“Dalam masa yang sama, tindakan menghantar pulang mereka yang tiada dokumen ke negara asal adalah sangat tepat pada masanya,” ujarnya.

Pada Jumaat, Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata, daripada 103 kes baharu COVID-19, tujuh kes merupakan kes import yang mendapat jangkitan di luar negara.

"Daripada 96 kes penularan tempatan, 84 kes adalah kes bukan warganegara Malaysia dimana 53 kes dikesan daripada Kluster Pedas dan 24 kes daripada Kluster Syarikat Pembersihan.

"Oleh itu, kes penularan tempatan dalam kalangan warnanegara Malaysia adalah 12 kes sahaja," kata. Dr Noor Hisham.