Semua komponen Barisan Nasional (BN) diminta tidak membuat ugutan terbuka kepada Perdana Menteri mengenai usul Rang Undang-Undang (RUU) Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) (Pindaan) 2016.

Ketua Pemuda UMNO Kedah, Datuk Shaiful Hazizy Zainol Abidin berkata, semua pihak juga perlu akur dan memberi ruang kepada Datuk Seri Najib Tun Razak untuk membuat penerangan mengenai isu berkenaan.

"Pemuda UMNO Kedah ingin menegur agar pihak pemimpin komponen tidak membuat ugutan secara terbuka mengenai RUU itu.

"UMNO tidak pernah mengungkit secara terbuka prestasi parti komponen di dalam pilihan raya umum (PRU) yang lalu, namun Najib terus-menerus memberi semangat dan suntikan demi suntikan kepada parti komponen untuk terus bekerja bagi menghadapi PRU ke-14," katanya kepada Astro AWANI di sini hari ini.

"Kami mohon semua parti komponen akur dan memberi ruang kepada Najib untuk membuat pencerahan seterusnya.

"Jangan beri tekanan melampau kerana dibimbangi akan mendapat reaksi yang tidak sepatutnya daripada UMNO sendiri yang tidak rela melihat pemimpinnya dilontarkan dengan pelbagai andaian," kata Shaiful Hazizy lagi.

Sebelum ini, Presiden MCA, Datuk Seri Liow Tiong Lai menyatakan bantahan terhadap mana-mana rang undang-undang ke arah pelaksanaan hukum hudud di Malaysia.

Tegasnya, pelaksanaan hudud adalah bertentangan dengan Perlembagaan Persekutuan dan menjejaskan hubungan antara etnik.

Beliau turut menyatakan mahu keluar dari Kabinet seandainya RUU itu diluluskan.

Selain Tiong Lai, Presiden MIC, Datuk Seri S. Subramaniam turut mengisytiharkan akan meletak jawatan daripada Kabinet jika hudud dilaksanakan.

Dalam pada itu, kata Shaiful Hazizy, pesta ugutan 'letak jawatan' yang dilihat berlaku kini sepatutnya dihentikan kerana Najib merupakan pemimpin yang sentiasa terbuka dan menerima perbezaan pandangan.

"Kami mohon agar pemimpin komponen juga menghentikan pelbagai kenyataan yang bakal mengundang persepsi yang membawa kepada kekeliruan.

"Bagi Pemuda Kedah, RUU ini jelas mengenai penambahbaikan kuasa mahkamah syariah yang telah lama tidak dinilai semula.

"Ia sama sekali tidak melibatkan orang bukan Islam. Oleh yang demikian semua pihak hendaklah rasional dan lontarkan perbezaan pandangan melalui saluran yang sepatutnya," ujarnya.

RUU Ahli Persendirian berkaitan hudud dibentangkan oleh Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang di Dewan Rakyat pada Khamis lepas. Perbahasannya ditangguhkan ke sesi akan datang.

Rang undang-undang persendirian itu disenaraikan sebagai agenda terakhir dalam aturan mesyuarat pada hari akhir sidang Dewan Rakyat semalam.

Ia buat pertama kalinya dibenar untuk dibentangkan di sidang Dewan Rakyat, selepas dipercepatkan untuk dibahaskan.