Seorang pengawal keselamatan warga Pakistan ditemui mati dibunuh di loji rawatan air Jalan Permai 2/14, Puchong Permai, Selangor awal pagi tadi.

Ketua Polis Daerah Subang Jaya, ACP Mohammad Azlin Sadari berkata, mangsa yang dikenali sebagai Muhammad Gul, 69, meninggal dunia akibat kecederaan disyaki ditetak di kepala dan kedua-dua tangan ketika berada di pos pengawal.

Susulan itu, empat remaja lelaki ditahan beberapa jam selepas kejadian kira-kira pukul 12.30 malam. kerana disyaki menyamun dan membunuh lelaki berkenaan,

"Siasatan awal mendapati motif kejadian ialah samun apabila empat remaja berusia antara 16 hingga 20 tahun berada dalam keadaan mabuk dan kehabisan wang untuk membeli arak,” katanya ketika dihubungi di sini.


Tambahnya, polis turut merampas sebilah parang yang dipercayai digunakan untuk menetak mangsa, pakaian dan kasut berkaitan kes itu.

“Mayat mangsa dihantar ke Hospital Serdang untuk dibedah siasat,” katanya sambil menambah kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.