Tutup

Sarawak tetap bersama Malaysia - Abang Johari

Sarawak tetap bersama Malaysia - Abang Johari
Dr Mahathir menyaksikan Abang Johari menandatangani Buku Khas Sambutan Hari Malaysia 2019 sempena sambutan Hari Malaysia di Stadium Perpaduan malam tadi. --fotoBERNAMA
KUCHING: Sarawak akan terus bersama Malaysia, tegas Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Openg.

Katanya, walaupun terdapat pelbagai masalah yang ditempuhi, kerajaan negeri yakin ia mampu diselesai secara bersama.

“Saya percaya kalau terdapat masalah, ia dapat diselesaikan dalam semangat kekeluargaan, bak kata pepatah 'sedangkan lidah lagi tergigit'.

“Walaupun kerajaan Sarawak dan kerajaan Persekutuan berada di platform politik yang berlainan, saya yakin dan percaya ini tidak akan menghalang kita untuk terus bekerjasama bagi kepentingan rakyat dan negara,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam ucapannya sempena Sambutan Hari Malaysia di Stadium Perpaduan di sini, malam tadi.

Turut hadir, Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad, Yang DiPertua Negeri Tun Abdul Taib Mahmud, Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Mohd Shafie Apdal dan beberapa menteri Kabinet.
Dalam pada itu, Abang Johari menerima secara terbuka pendekatan 'Shared Prosperity' (Kemakmuran Bersama) yang diumum Dr Mahathir baru-baru ini.

BACA: 16 Sept hari bermakna untuk rakyat Sarawak - Abang Jo

BACA: Kerajaan akan beri tumpuan pembangunan Sabah, Sarawak - PM

BACA: Hubungan dengan Sarawak lebih kuat jika ditadbir parti yang sama - Tun Mahathir 

Justeru, katanya, pihaknya yakin segala yang diharapkan akan menemui jalan penyelesaian, termasuk tiada pengurangan hak perlembagaan dan perlindungan khas status yang diberikan kepada Sabah dan Sarawak.

“Saya dan anggota pentadbiran kerajaan negeri berkeyakinan penuh bahawa perkara-perkara yang dibincangkan akan menemui penyelesaian menerusi Jawatankuasa Khas Pemandu MA63 (Perjanjian Malaysia 1963).

"Dan Malaysia insya-Allah akan lebih kukuh dan padu atas persefahaman rakyat wilayah Semenanjung Malaysia, Sabah dan Sarawak,” katanya.

BACA: Usaha mengembalikan kedudukan Sabah, Sarawak masih diteruskan - PM

BACA: Perpaduan jamin kestabilan, pembangunan negara - Tun Mahathir

BACA: MA63: 7 isu mendapat persetujuan bersama  

Abang Johari menambah, Sarawak yakin dengan penyelesaian yang akan menyaksikan tidak ada pihak yang rugi, dan lebih penting, tidak meremeh hak perlembagaan, perlindungan khas dan status yang diberikan kepada negeri-negeri Sabah dan Sarawak sebagaimana dipersetujui oleh bapa-bapa pengasas negara yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan 56 tahun lalu.

"Dalam mana-mana sistem politik, di mana wujudnya dua atau lebih kuasa perundangan yang mempunyai kuasa untuk menggubal undang-undang, persempadanan bidang kuasa untuk menggubal undang-undang hendaklah jelas.

"Walaupun dengan kewujudan persempadanan yang jelas, ketidaksetujuan masih boleh berlaku kerana kuasa-kuasa ini dipengaruhi oleh keperluan semasa, aspirasi dan agenda pembangunan Kerajaan Persekutuan atau Kerajaan-Kerajaan Negeri," tambahnya.