Bekas koperal Unit Tindakan Khas (UTK) Polis Sirul Azhar kesal kerana beliau dijatuhkan hukuman mati selepas melakukan apa yang diarahkan, lapor Malaysiakini.

"Jika saya mati hari ini, saya tidak akan aman kerana saya cuma buat apa yang diarah dan ini balasannya yang saya dapat," Sirul dipetik sebagai berkata oleh Malaysiakini, baru-baru ini.

Namun, Sirul dilaporkan tidak menyatakan bahawa kenyataan itu adalah pengakuan bersalah.

Dihubungi Malaysiakini, Sirul merasakan, DSP Musa Safri - bekas pembantu (ADC) Datuk Seri Najib Abdul Razak ketika menjadi timbalan perdana menteri - patut dipanggil menjadi saksi pihak pendakwaan.

Beliau juga sekali lagi menegaskan bahawa beliau menjadi “kambing hitam” dalam kes itu dan tertekan dengan dakwaan penganalisis politik Abdul Razak Baginda bahawa “polis jahat” bertanggungjawab membunuh Altantuya pada 2006.

Razak (Baginda) didakwa bersubahat dengan pembunuhan itu tetapi kemudian dibebaskan tanpa dipanggil membela diri.

Mahkamah Rayuan pada 2013 membebaskan Cif Inspektor Azilah Hadri dan Sirul akibat salah arah serius Hakim Mahkamah Tinggi Shah Alam, Mohd Zaki Yasin, termasuk tidak memanggil Musa.

Bagaimanapun, kata Sirul, Mahkamah Persekutuan, yang mengekalkan rayuan pendakwaan, mengabaikan perkara itu.

"Mahkamah juga mengabaikan bukti DNA daripada kesan darah pada kasut yang diletakkan di dalam kereta saya dan sampel DNA saya sendiri.

"Mahkamah abaikan perkara ini walaupun terdapat penghujahan kuat oleh peguam saya," katanya.

Pasukan pendakwaan yang diketuai oleh Timbalan Peguam Cara Negara I Datuk Tun Abdul Majid Tun Hamzah berhujah bahawa Musa bukan saksi penting dalam perbicaraan itu dan tiada keperluan memanggilnya.

Peguam Sirul, Kamarul Hisham Kamaruddin dan Hasnal Rezua Merican pula berhujah bahawa tindakan itu telah bertukar perbicaraan silap.

Sementara itu, Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar mempersoalkan mengapa baharu sekarang Sirul mahu "menceritakan semua" sedangkan dia mempunyai peluang untuk melakukan perkara tersebut sebelum ini.

Khalid berkata, sebelum ini Sirul mempunyai tiga peringkat berbeza dalam perbicaraannya untuk melakukan perkara itu.

Khalid menyuarakan kebimbangannya terhadap pihak yang berkepentingan yang mungkin mempengaruhi Sirul untuk berbohong.

"Saya fikir masyarakat boleh membuat pertimbangan mereka sendiri berhubung perkara ini. Dia senyap selama ini. Kenapa baru sekarang nak beritahu semua?

"Saya bimbang pihak tertentu yang berkepentingan dalam perkara ini cuba untuk mempengaruhinya supaya berbohong," katanya.

Menurut Khalid, golongan ini cuba mengambil kesempatan terhadap undang-undang ekstradisi Australia, yang tidak membenarkan negara ini membawa pulang mereka yang disabitkan hukuman mati sehingga jaminan diberikan bahawa hukuman mati tidak akan dikenakan.

"Kita tidak akan ditekankan oleh pihak ini untuk memulakan siasatan baru terhadap kes ini kerana ia tidak perlu," katanya kepada pemberita pada majlis pelancaran 'Ops Selamat' pada Rabu.