Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal berkata beliau tidak tahu menahu sekiranya ada Exco Pemuda UMNO yang terlibat dengan pembelian hartanah di Australia bernilai RM138.6 juta oleh Mara Inc.

Katanya, segala perjanjian yang dilakukan oleh mana-mana pihak sebelum Mara Inc memiliki hartanah tersebut adalah di luar pengetahuan mereka.

“Bukan di bawah pengetahuan saya… yang kita tahu bahawa perjanjian ini adalah berdasarkan penilaian hartanah dilakukan oleh badan-badan Mara Inc dan apa-apa transaksi dilakukan sebelum itu adalah di luar pengetahuan kami,” katanya pada sidang media selepas majlis buka puasa di German Malaysian Institut (GMI), Bangi malam tadi.

”Saya tidak ada jawapan untuk itu… ini dakwaan sahaja. Tiada kebenaran di situ. Mana kita tahu ada Pemuda di situ,” katanya lagi.

Menurut Shafie, sekiranya ada perjanjian yang dibuat sebelum penilaian dilakukan, ia tidak ada kaitan dengan mereka.

“Kalau sekiranya berlaku, tiada hubungkait dengan proses pembelian yang dilakukan Mara Inc,” jelasnya.

Dalam pada itu, Shafie turut ditanya sama ada pihaknya ingin mengambil tindakan undang-undang terhadap Naib Preisden PKR, Rafizi Ramli atas dakwaan yang dibuat.

“Kita akan tunggu.. bila siasatan dah berlaku selepas itu. Selangkah demi selangkah… kita tidak mahu buat kesimpulan tentang apa langkah seterusnya. Kita akan lihat senarionya dahulu," kata Shafie.

Bagaimanapun katanya, apa yang dikatakan oleh Rafizi tidak boleh diambil sebagai kebenaran dan harus disiasat terlebih dahulu.

“Kalau tuduhan dilontarkan, siasatan dilakukan.. dan kita tak boleh pegang apa tuduhan tu benar tak benar sehingga siasatan selesai. Jadi baik kita tunggu sehingga selesai siasatan.

“Kita tak boleh kata apa Rafizi kata itu betul, sehingga siasatan. Takkan la apa Rafizi kata tu dah konklusif… perlu ada siasatan,” katanya.

BACA: Pembelian hartanah di Melbourne tiada ruginya - Shafie Apdal

BACA: Isu Mara Inc: 'Tunggu buka puasa bersama MARA minggu depan saya jawab' - Shafie

Sebelum itu, Ketua Pemuda UMNO Khairy Jamaluddin telah menafikan dakwaan Rafizi itu serta menyifatkannya sebagai tidak masuk akal dan tiada bukti yang kukuh.

Khairy juga berkata, sekiranya Rafizi ada bukti, beliau perlu tampil mengemukakan bukti tersebut.