Tutup

Sebahagian jalan berkembar Bukit Kukus dibuka pada pertengahan 2020

Sebahagian jalan berkembar Bukit Kukus dibuka pada pertengahan 2020
Pasukan Bomba dan Penyelamat membawa keluar mayat yang tertimbus dalam kejadian tanah runtuh projek pembinaan Lebuhraya Berkembar di Jalan Bukit Kukus, Paya Terubong, George Town, pada Oktober tahun lalu. --fotoBERNAMA
GEORGE TOWN: Kerajaan Pulau Pinang menyasarkan untuk menyiapkan sebahagian projek pembinaan jalan berkembar Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) bernilai RM545.6 juta menjelang pertengahan tahun depan.

Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Utiliti dan Tebatan Banjir negeri Zairil Khir Johari berkata sepanjang 2.8km daripada keseluruhan lima kilometer jalan berkembar itu telah siap 75 peratus dan kontraktor akan diminta membina jalan sepanjang 200 meter yang menghubungkan Jalan Paya Terubong berhampiran Durian Cap Cangkul ke lebuh raya baharu untuk akses awam.
"Dua lagi kontraktor yang terlibat dalam bahagian projek yang lain, bahagian mereka tertangguh kerana menghadapi masalah kewangan," katanya kepada pemberita di tapak pembinaan projek Jalan Bukit Kukus di sini.

BACA: Pemaju tidak patuhi pelan ESCP - Zairil 
Dua kontraktor berkenaan, Geo Valley Sdn Bhd dan PLB Land Sdn Bhd, masing-masing bertanggungjawab menyiapkan baki jalan sepanjang 1.4km dan 0.8km.

Turut mengiringi Zairil Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Masyarakat Penyayang dan Alam Sekitar negeri Phee Boon Poh dan wakil MBPP, Jabatan Pengairan dan Saliran, Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan, Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia, Jabatan Alam Sekitar dan Jabatan Mineral dan Geosains.

BACA: Perunding, kontraktor dituntut beri penjelasan punca kecuaian

Terdahulu, pasukan petugas khas Jawatankuasa Kawalan Hakisan dan Kelodak (Ops Lumpur) berada di tapak projek itu untuk menyemak pematuhan garis panduan projek yang ditetapkan dalam Pelan Kawalan Hakisan dan Kelodak (EPSCP). 

Sembilan pekerja asing terkorban dan empat cedera dalam kejadian tanah runtuh di tapak projek Bukit Kukus pada 19 Okt tahun lepas.

Untuk mengelakkan bencana yang sama, jurutera residen projek Amir Abdullah berkata beberapa prosedur kawalan hakisan dan sedimen telah dijalankan untuk mematuhi senarai semak EPSCP.

“Bagi memastikan keselamatan, tapak pembinaan menjalankan langkah-langkah kawalan hakisan yang betul seperti memasang geotekstil, mewujudkan empangan penyekat, perangkap kelodak dan tanggul serta melakukan hidropembenihan.

-- BERNAMA