Angkatan Pertahanan Awam (APM) Selangor menasihatkan orang ramai supaya sentiasa membersihkan kawasan sekeliling rumah terutamanya ketika cuaca panas bagi mengelakkan ia menjadi tempat berlindung haiwan reptilia seperti ular.

Pengarahnya, Penolong Pesuruhjaya Pertahanan Awam, Mohd Yusoff Samad berkata ini kerana ketika musim panas seperti yang sedang dialami kini, pihaknya merekodkan peningkatan jumlah tangkapan ular kepada 100 kes berbanding purata 50 kes sebulan sebelum ini.

"Haiwan ini berdarah sejuk maka dia perlukan tempat yang sejuk. Jadi, apabila tibanya musim kering, reptilia ini akan keluar (dari habitatnya) untuk mencari tempat berlindung yang lembab.

"Disebabkan itu, sepanjang musim panas sekarang ini, APM Selangor mencatatkan kes tangkapan ular yang tinggi. Orang ramai amat dinasihatkan supaya membersihkan halaman rumah mereka bagi mengelakkan haiwan ini hadir dan berlindung," katanya kepada pemberita di sini hari ini.

BACA: Ular 'kacau' anak dara tingkat 14 rupanya bertuan

BACA: Ular hitam seberat 26 kilo naik tingkat 14 PPR, ganggu tidur gadis

Beliau ditemui selepas menghadiri Majlis Perhimpunan Bulanan dan Perutusan Amanat sempena Hari Ulang Tahun Pertahanan Awam ke-67 di Dewan Gemilang, Jabatan Ketua Pengarah Tanah dan Galian (JKPTG) Selangor, di sini.

Mengambil contoh kawasan Kajang dan Semenyih di daerah Hulu Langat, beliau berkata operasi tangkapan ular oleh APM Selangor biasa menemui beberapa spesies ular berbisa biasa antaranya ular rusuk kerbau, ular tedung dan ular kapak manakala daerah lain kebanyakannya ular tidak berbisa.

Tambah Mohd Yusoff, faktor pembangunan juga antara punca haiwan reptilia itu sering keluar daripada habitatnya ke kawasan kediaman yang mana ia boleh mengganggu ketenteraman awam.

Bagaimanapun, beliau menasihatkan orang ramai supaya tidak menangkap haiwan itu secara sendiri terutamanya spesies berbisa bagi mengelakkan sebarang kejadian tidak diingini.

Mohd Yusoff menyatakan pihaknya juga menjangkakan peningkatan jumlah panggilan bagi operasi menangkap ular sepanjang musim panas ini dan disebabkan itu, anggota APM Selangor sentiasa menjalankan latihan supaya mereka lebih mahir dalam menghadapi haiwan berkenaan.

-- BERNAMA