Malaysia dan Singapura disarankan untuk meneruskan semangat ASEAN dalam perundingan bersama berhubung isu sempadan maritim antara kedua-dua negara.

Menurut Penganalisis Politik dan Pakar Geo Strategis Universiti Teknologi Malaysia, UTM, Azmi Hassan jika semangat kejiranan itu dikekalkan, segala perundingan akan berjalan lancar.

“Sebelum ini sudah banyak pertelingkahan yang berlaku antara Malaysia dan Singapura, tetapi kesemuanya dapat diselesaikan apabila semangat ASEAN diterapkan.

“Contohnya isu Pulau Batu Putih yang telah dicapai keputusan melalui perundingan yang menggunakan undang-undang sedia ada,” katanya ketika dihubungi Astro AWANI pada Ahad.


Dalam pada itu, Azmi turut menyarankan agar Singapura bertolak ansur sebelum rundingan dilakukan.

Ini kerana kedua-dua negara perlu perlu tonjolkan sisi profesional masing-masing terlebih dahulu.

“Perundingan masih perlu berasaskan undang-undang antarabangsa sedia ada memandangkan kedua-dua negara ini adalah ahli kepada Konvensyen Undang-Undang Maritim, Persatuan Bangsa Bersatu (PBB).

“Pertelingkahan seperti ini juga sudah menjadi sinonim antara kedua-dua negara, justeru pasti jalan penyelesaian dapat dicapai dalam masa terdekat,” ujarnya.

BACA: Hak Malaysia diambil kira dalam penyelesaian sempadan perairan - Tun M

BACA: Isu ruang udara, sempadan laut: Malaysia cadang mesyuarat dengan Singapura

BACA: Singapura tolak cadangan Malaysia untuk hentikan penghantaran aset - Menteri Luar Singapura

Beliau diminta untuk mengulas kenyataan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad yang memberi jaminan isu pertelingkahan berhubung sempadan perairan antara Malaysia dan Singapura akan diselesaikan dengan segala peruntukan undang-undang sedia ada.

Tun Mahathir juga beri jaminan penyelesaian isu itu akan turut mengambil kira hak dan kedaulatan Malaysia.