Seorang lagi ahli Angkatan Bersatu Anak Muda (Armada) ditahan pada Khamis bagi membantu siasatan kes kehilangan wang tunai RM250,000 di rumah bekas Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Abdul Rahman.

Penahanan terbaharu oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) itu dibuat dua hari selepas Bendahari Armada, Rafiq Hakim Razali, ditahan.

Pengarah Siasatan SPRM, Datuk Norazlan Mohd Razali berkata, lelaki berusia 27 tahun yang juga seorang bendahari sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO) belia itu ditahan di ibu pejabat SPRM, Putrajaya selepas memberi keterangan.

Katanya, lelaki itu kini ditahan reman empat hari sehingga Isnin bagi membantu siasatan berhubung kehilangan wang berkenaan yang dipercayai mempunyai kaitan dengan penyelewengan dalam akaun Armada.

Norazlan berkata, perintah reman terhadap ahli Armada itu dikeluarkan mengikut Seksyen 117 Kanun Acara Jenayah di Mahkamah Majistret Putrajaya, pagi Jumaat.

"Kita tahan selepas dia memberi keterangan petang semalam (Khamis) bagi membantu kes siasatan tersebut," katanya di sini, pada Jumaat.

Dalam perkembangan yang sama, Norazlan berkata, SPRM membuat laporan polis terhadap Ketua Penerangan Armada, Ulya Aqamah Husamudin ekoran hantaran di Facebooknya yang mendakwa kononnya penahanan beberapa EXCO Armada bermotif politik.

"Selain itu, Ulya Aqamah juga membuat tuduhan liar dengan mendakwa SPRM menahan empat ahli Armada iaitu Adam Mukhriz, Hannan Khairy, Redzuan Shafi dan Daniel Khushairi tanpa mengikut prosedur dan undang-undang," katanya.

Beliau menjelaskan, hanya dua daripada mereka dipanggil untuk memberi keterangan dan tiada tangkapan dibuat.

"Yang kita tahan bukan daripada senarai yang disebut itu," katanya yang memaklumkan laporan itu dibuat di Ibu Pejabat Polis Putrajaya, pada Jumaat.

Sambil menyifatkan tohmahan itu sebagai fitnah, Norazlan menegaskan, siasatan SPRM tidak bermotifkan politik sebaliknya berkaitan sejumlah wang yang dilaporkan hilang yang kemudian dipercayai mempunyai kaitan dengan penyelewengan akaun Armada.

Ekoran itu beliau sekali lagi mengingatkan orang ramai supaya tidak membuat spekulasi dan memberi kerjasama kepada SPRM untuk melengkapkan siasatan.

Kehilangan wang itu diketahui selepas Syed Saddiq membuat laporan polis di Balai Polis Sg Way, Petaling Jaya pada 29 Mac lalu.

Dalam laporan tersebut, Ahli Parlimen Muar itu turut memaklumkan beliau menyedari wang tersebut hilang daripada peti besi berkenaan pada kira-kira pukul 7 malam, 28 Mac lalu.

Menurut laporan polis itu juga, Syed Saddiq berkata peti besi miliknya itu telah ditetapkan kod rahsia dan hanya individu tertentu yang tahu di mana beliau menyimpannya.