Ketua Angkatan Bersatu Anak Muda (Armada), Syed Saddiq Syed Abdul Rahman secara terbuka berkata, beliau sedia dicabar dalam jawatan berkenaan pada pemilihan jawatan Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu).

Menurut Ahli Parlimen Muar itu, setiap ahli dalam kepimpinan perlu berpegang kepada prinsip demokrasi yang sentiasa menjadi tunjang parti Bersatu.

Dalam masa sama, Syed Saddiq berkata, barisan kepimpinan parti juga harus terbuka dan bersedia untuk melakukan perubahan yang baik untuk parti.

“Sesiapa boleh dicabar kerana ini adalah amalan demokrasi dalam parti.

"Jangan tutup pintu demokrasi parti, kalau ada yang lebih baik kita angkat. Kalau yang baik kita kekalkan. Itulah amalan Parti Pribumi Bersatu,” katanya.

Beliau yang juga Menteri Belia dan Sukan berkata demikian kepada pemberita selepas menyampaikan Amanat 2020 kepada kakitangan Kementerian Belia dan Sukan, di sini pada Jumaat.

Pada majlis itu, Syed Saddiq turut menyampaikan sijil kepada 15 penerima Anugerah Khas Pekerja Terbaik kementeriannya.

Semua jawatan MPT Bersatu 2019-2022 akan dipertandingkan semasa pemilihan tertinggi parti itu yang akan diadakan pada 4 April ini.

Mengumumkan perkara ini pada 8 Januari lalu, Pengerusi Jawatankuasa Pemilihan Parti Bersatu, Tan Sri Syed Hamid Jaafar Albar berkata, pemilihan itu akan dibuat pada tarikh berkenaan, termasuk keputusan pada hari yang sama.

BACA: Semua jawatan Majlis Pimpinan Tertinggi Bersatu dipertandingkan - Syed Hamid