Negeri Selangor, Melaka dan Johor telah diisytiharkan sebagai kawasan larangan pembakaran terbuka berkuatkuasa serta merta oleh Jabatan Alam Sekitar (JAS).

Ketua Pengarah Jabatan Alam Sekitar Datuk Halimah Hassan berkata larangan mengikut Seksyen 29AA(2) Akta Kualiti Alam Sekeliling (Pindaan) 2001 itu, berkuatkuasa sehingga ke satu tarikh yang akan diberitahu kelak.

Larangan berkenaan bagaimanapun, berkecuali kepada pembakaran mayat, keagamaan, gril/barbeku dan pembakaran gas mudah terbakar (flaring).

"Mereka yang disabit kesalahan melakukan pembakaran terbuka boleh dikenakan denda sehingga RM500,000 atau penjara maksimum lima tahun atau kedua-duanya sekali," katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Halimah juga menambah, kompaun maksimum sebanyak RM2,000 juga boleh dikenakan atas setiap kesalahan.

Keadaan jerebu yang semakin teruk dialami oleh ketiga-tiga negeri tersebut adalah berikutan kebakaran hutan yang berlaku di negara jiran.

Halimah meminta orang ramai memberi kerjasama dengan menghubungi JAS di talian 03-88891972 atau 1-800-88-2727 dan Jabatan Bomba dan Penyelamat di talian 03-88880336, jika mengesan sebarang aktiviti pembakaran terbuka di kawasan mereka.