Polis digesa menyiasat dakwaan kononnya wujud kegiatan menjual 'lesen memandu terbang' kepada orang awam di laman sosial termasuk Facebook.

Pegawai Tugas-Tugas Khas di Pejabat Menteri Pengangkutan Chung Yi Fan yang membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah Petaling Jaya di sini, hari ini berkata sindiket haram berkenaan menawarkan lesen memandu di laman sosial dengan harga mencecah ribuan ringgit.

"Kumpulan ini disyaki melakukan pemalsuan dokumen serta terlibat kegiatan rasuah. Tindakan menjual lesen adalah bertentangan dengan undang-undang dan saya berharap siasatan segera dijalankan oleh pihak polis untuk mencari serta mengesan kumpulan ini," katanya kepada pemberita.

Rabu lepas, sebuah akhbar tempatan berbahasa Cina melaporkan wujud kumpulan yang menawarkan lesen memandu pada harga antara RM990 hingga RM2,900 tanpa perlu menjalani ujian serta latihan memandu.

Menurut Yi Fan, sindiket berkenaan menggunakan akaun palsu untuk membuat iklan penjualan lesen berkenaan.

"Segala dokumen mengenai aktiviti kumpulan ini telah diserahkan kepada polis untuk tindakan seterusnya," katanya.

-- BERNAMA