Satu insiden runtuhan siling berlaku di Pejabat Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) di Bangunan Pusat Transformasi Bandar (UTC) Sabah di sini pada Selasa.

Menurut kenyataan Kementerian Kewangan di sini malam tadi, kejadian itu berlaku kira-kira pukul 7.40 malam di tingkat sembilan di bangunan berkenaan, di mana pejabat itu terletak, namun tiada sebarang kecederaan mahupun kemalangan jiwa dilaporkan.

"Kerja-kerja penilaian awal kejadian runtuhan sedang dijalankan oleh perunding dan dipantau oleh pihak Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia (CIDB) dan pengurusan UTC Sabah.

"Sehubungan itu, keseluruhan aras sembilan ditutup buat sementara waktu bagi memberi laluan kepada kerja-kerja penilaian," kata kenyataan itu.

Selain Pejabat PTPTN, pejabat lain yang terlibat dengan penutupan tingkat itu ialah jabatan di bawah Kementerian Sumber Manusia iaitu Jobs Malaysia, Jabatan Tenaga Manusia dan Perbadanan Tabung Pembangunan Kemahiran.

Sementara kerja penilaian dan pembaikan dijalankan, pelanggan boleh mendapatkan perkhidmatan PTPTN di pejabatnya di tingkat satu dan dua di Warisan Square di sini, manakala perkhidmatan berkaitan Kementerian Sumber Manusia boleh diperoleh di bilik mesyuarat, tingkat 10 Bangunan UTC Sabah.

-- BERNAMA