Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) berjaya menumpaskan sindiket penipuan program ‘rehiring’ atau penggajian dan penempatan semula pendatang asing tanpa izin melibatkan jumlah wang penipuan sebanyak RM2.2 juta.

Ketua Pengarah Imigresen Datuk Seri Mustafar Ali berkata sindiket didalangi 'Abang Is' yang berpusat di Bangi dan Nilai itu melibatkan lebih 270 mangsa.

Jelasnya, mangsa terdiri daripada pekerja asing dari India, Indonesia, Bangladesh dan Myanmar.

"Syarikat itu telah menawarkan warga asing yang ada di negara ini dengan program penggajian semula yang kononnya diuruskan mereka.

"Berdasarkan risikan dan siasatan awal, kami dapati setiap mangsa membayar RM8,000 kepada syarikat berkenaan dengan tujuan mendapatkan pekerjaan menerusi penggajian semula yang sebenarnya sudah pun ditamatkan pada 30 Jun lalu.

"Rentetan itu, pada 12 Ogos sekitar 10.50 pagi, sebuah premis kediaman di Bandar Puteri Bangi, Kajang telah diserbu di lokasi pertama dan seorang lelaki tempatan dan tiga lelaki warga Bangladesh ditahan untuk membantu siasatan.

"Turut ditahan tiga lelaki warganegara Bangladesh yang disyaki sebagai mangsa penipuan tetapi tidak mempunyai sebarang dokumen pengenalan diri," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Imigresen, di sini, hari ini.

Dalam serbuan itu, Imigresen merampas sejumlah pasport serta borang dipercayai digunakan untuk tujuan pendaftaran program penggajian semula, serta borang perjanjian wang perlindungan bulanan berjumlah RM200.

"Hasil serbuan (Imigresen) turut merampas 232 pasport iaitu 222 pasport Bangladesh, tujuh pasport Indonesia, dua pasport India, satu pasport Pakistan dan pelbagai dokumen serta buku resit pembayaran transaksi," ujarnya.

Tambahnya, serbuan kedua di Taman Desa Seringin, Nilai pada Isnin berjaya menahan seorang lelaki tempatan berusia 35 tahun dan lelaki warga India.

"Dalam serbuan sama, sejumlah 38 dokumen perjalanan antarabangsa pelbagai negara iaitu 26 keping pasport Bangladesh, 10 keping pasport India dan dua keping pasport Indonesia.

"Selain itu, turut dirampas dua kenderaan iaitu Honda Accord 2.4 VTI-L berwarna hitam bernombor pendaftaran RIMAU 9919, satu kenderaan jenis Toyota Vios-G berwarna coklat bernombor pendaftaran BNL 1110 yang ditemukan dalam kawasan premis yang disyaki dibeli suspek menggunakan wang yang dikutip daripada mangsa penipuan rehiring," katanya.

Menurut Mustafar, suspek utama Abang Is ditahan kerana melakukan kesalahan di bawah Akta Pasport dan Seksyen 117, sementara warganegara India itu pula ditahan atas kesalahan di bawah Akta Imigresen 1959/63.

"Suspek lelaki tempatan yang ditahan dalam serbuan di Bangi pula akan dilanjutkan reman dan kesemua suspek tahanan telah dibawa ke Pejabat Imigresen Shah Alam, Selangor untuk siasatan lanjut," katanya.