Peniaga Ampang Park meminta perjanjian bersama dengan MRT Corporation mencapai kata sepakat dengan tiada sebarang keputusan untuk meruntuhkan kompleks beli belah tertua di ibu negara itu.

Timbalan Presiden Persatuan Kebajikan Peniaga-peniaga Kecil Ampang Park, Wan Kamal Izzuddin Wan Kassim, berkata, walaupun ia masih dalam proses perbincangan, semua pihak berkenaan harus mengambil kira aspek peniaga yang selama ini mencari rezeki di kompleks berkenaan.

"Peniaga Melayu cari makan di sini, tiada Ampang Park di manakah kami mahu mencari rezeki. Kini kita dalam usaha untuk membuat perjanjian bersama. Jadi perkara runtuh atau tidak ini sebenarnya masih dalam perbincangan.

"Kita mohon pihak berkenaan memikirkan peniaga di sini. Bangunan ini sudah 43 tahun beroperasi dan satu-satunya tempat di dalam bandar ini untuk orang Melayu mencari barangan dalam suasana sederhana," katanya kepada Astro AWANI di sini hari ini.

Wan Kamal Izzuddin berkata demikian selepas majlis sambutan Malidur Rasul di kompleks berkenaan.

Pada majlis sama, pihak persatuan turut menyampaikan sumbangan makan tengah hari kepada pengunjung kompleks.


 Persatuan Kebajikan Peniaga-peniaga Kecil Ampang Park menyampaikan sumbangan makanan kepada pengunjung kompleks itu sempena sambutan Maulidur Rasul - Sumber gambar Wan Kamal Izzuddin

Sebelum ini, difahamkan, hanya 14,000 kaki persegi daripada keseluruhan 340,000 kaki persegi sahaja terlibat dalam pelaksanaan projek pembangunan stesen serta laluan Transit Aliran Massa (MRT) yang termasuk dalam rancangan jajaran kedua Sungai Buloh-Serdang-Putrajaya (SSP).

Dalam pada itu katanya, perjanjian bersama dianggar mengambil tempoh selama satu tahun sebelum apa juga langkah susulan diputuskan.

"Kita ambil perintah mahkamah supaya segala proses dihentikan sementara waktu," jelasnya.

Sebelum ini, dilaporkan ada peniaga di Ampang Park yang mengalami tekanan emosi selepas mengetahui kompleks itu akan diruntuhkan dan dijadikan tapak pembangunan stesen serta laluan MRT.

Peniaga berkenaan dikatakan buntu apabila kehilangan pelanggan selain memikirkan kerugian yang akan ditanggung kelak.

Ampang Park dibina pada 1972 dan dibuka kepada orang ramai pada 15 Mac 1973, menjadikannya kompleks beli belah pertama di Malaysia dengan keseluruhan 250 lot premis yang menjual pelbagai jenis barangan keperluan dan kehendak selain perkhidmatan untuk warga kota.

Ia dibangunkan oleh syarikat Low Keng Huat Brothers Realty Sdn Bhd berikutan kejayaan projek pertamanya di Singapura, People's Park yang dibuka pada 1968.