Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin hari ini mengesyorkan Standard Kualiti Pendidikan Malaysia (SKPM), satu daripada indikator mengukur kemajuan sekolah, ditingkatkan kepada 50 peratus berbanding 30 peratus sebelum ini.

SKPM dan Gred Purata Sekolah (GPS) adalah kombinasi skor komposit bagi melayakkan seseorang guru besar menerima Bayaran Insentif Tawaran Baharu (BITB).

Muhyiddin, yang juga Menteri Pendidikan, berkata dalam usaha mendidik pelajar holistik, kombinasi skor komposit 70 peratus untuk GPS berdasarkan peperiksaan dan 30 peratus bagi SKPM adalah kurang sesuai.

"Oleh kerana SKPM merupakan satu-satunya indikator mengukur kemajuan sekolah dan kemenjadian murid, saya mengesyorkan supaya SKPM ditingkatkan kepada 50 peratus," katanya ketika berucap pada majlis anugerah BITB Kepada Guru Besar 2014 di sini.

Hadir sama Ketua Setiausaha Kementerian Pendidikan Tan Sri Dr Madinah Mohamad dan Ketua Pengarah Pendidikan Datuk Seri Dr Khair Mohamad Yusuf.

Muhyiddin berkata selepas lima tahun dilaksanakan, Kementerian Pendidikan kini sedang meneliti semula program Tawaran Baharu Guru Besar bagi disesuaikan dengan perubahan dalam sistem pendidikan negara.

Beliau turut menyarankan guru besar yang telah menerima anugerah BITB melebihi tiga kali dipertimbangkan untuk berpindah bagi membangunkan sekolah-sekolah yang lain.

Beliau percaya suntikan pengalaman dan kepakaran guru berkenaan dapat membantu lebih banyak lagi sekolah untuk menerima anugerah BITB.

"Tetapi jangan kerana pengumuman ini, tahun depan guru-guru besar tidak lagi meneruskan kecemerlangan kerana tidak mahu berpindah," katanya secara berseloroh.

Pada majlis itu sebanyak 264 guru besar menerima BITB dengan 12 daripadanya telah menerima anugerah itu sebanyak lima kali.

Daripada jumlah itu, Sarawak mencatatkan penerima BITB terbanyak iaitu sebanyak 60 sekolah diikuti Johor sebanyak 32 sekolah serta Perak dan Terengganu masing-masing 27 sekolah.