Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sedang meneliti pendedahan Sultan Johor Sultan Ibrahim Almarhum Sultan Iskandar mengenai cubaan rasuah terhadap baginda berhubung penganugerahan pingat.

Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) SPRM Datuk Azam Baki berkata SPRM masih meneliti pendedahan itu dan setakat ini tiada tangkapan dilakukan.

"Buat masa ini tiada tangkapan lagi kerana kami sedang meneliti kes ini yang melibatkan pelbagai aspek," katanya kepada Bernama.

Semalam, Ketua Pesuruhjaya SPRM Datuk Dzulkifli Ahmad dan pegawai kanan SPRM telah menghadap Sultan Ibrahim di ibu negara berhubung pendedahan itu.

Perjumpaan itu dilaporkan berlangsung di sebuah lokasi di ibu negara.

Pada 25 Mac lepas, Sultan Johor mendedahkan baginda menerima tawaran RM2 juta daripada seorang individu untuk mencadangkan nama kepada Ketua Setiausaha Negara bagi mendapatkan gelaran 'Tan Sri' daripada Yang di-Pertuan Agong. -- Bernama