Struktur semula Khazanah Nasional Berhad, kerajaan bukan balas dendam - Tun Mahathir

Struktur semula Khazanah Nasional Berhad, kerajaan bukan balas dendam - Tun Mahathir
Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad menerima tawaran perletakan jawatan semua ahli lembaga pengarah Khazanah Nasional Berhad - Foto fail
PUTRAJAYA: Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad menerima tawaran perletakan jawatan semua ahli lembaga pengarah Khazanah Nasional Berhad.

Pejabat Perdana Menteri melalui satu kenyataan media memaklumkan, langkah ini membolehkan Kerajaan menstruktur semula syarikat tersebut” berdasarkan polisi pentadbiran baru yang sedia ada.

Dr Mahathir juga sebagai PM mempunyai hak untuk melantik ahli lembaga pengarah baharu atau mengekalkan sesetengah mereka untuk memastikan kesinambungan perjalanan syarikat. 
Kerajaan bukan di dalam proses membalas dendam


“Kita tidak menganggap semua terlibat di dalam salah laku, tetapi pentadbiran ini tidak boleh menerima kesalahan yang jelas dan dibiarkan berterusan. 

Berikut kenyataan media penuh daripada Pejabat Perdana Menteri:

PERLETAKAN JAWATAN LEMBAGA PENGARAH KHAZANAH NASIONAL BERHAD

“Pelaksanaan penstrukturan semula.”

Perletakan jawatan Pengarah Urusan dan Lembaga Pengarah Khazanah Nasional Berhad akan membolehkan Kerajaan menstruktur semula syarikat dana nasional tersebut.

Perdana Menteri YAB Tun Dr Mahathir bin Mohamad menerima tawaran perletakan jawatan semua ahli lembaga pengarah kerana “langkah ini membolehkan Kerajaan menstruktur semula syarikat tersebut” berdasarkan polisi pentadbiran baru yang sedia ada.

Dr Mahathir menegaskan bahawa Perdana Menteri mempunyai hak untuk melantik ahli lembaga pengarah yang baru, atau memindahkan mereka ke syarikat lain, atau pun mengekalkan sesetengah mereka untuk kesinambungan perjalanan syarikat.

Beliau juga mengatakan bahawa Kerajaan bukan di dalam proses membalas dendam.

“Kita tidak menganggap semua terlibat di dalam salahlaku, tetapi pentadbiran ini tidak boleh menerima kesalahan yang jelas dan dibiarkan berterusan.

“Perletakan jawatan beramai-ramai ini akan memberi ruang untuk menyusun semula Khazanah kerana polisi kami adalah berlainan dari pentadbiran sebelum ini. Kami percaya adalah bagus untuk memberi gaji yang tinggi tetapi kita tidak boleh sentiasa mengikut nilai ukuran pihak swasta. Kita mahu menumpu kepada ganjaran di dalam bentuk bonus yang berlandaskan kepada prestasi kerana ada sesetengah syarikat yang beroperasi pada tahap yang tidak memuaskan.”

Mengenai laporan yang mengatakan RM2 billion telah terhapus dari Bursa Malaysia, Dr Mahathir menekankan bahawa jumlah kerugian atas kertas tersebut tidaklah sebesar bebanan hutang RM1 trillion yang diwarisi dan sekarang terpaksa dihadapi dan ditanggung oleh Kerajaan.

“Jumlah hutang RM1 trillion tersebut adalah nyata dan benar, dan jumlah yang perlu dibayar tidak boleh dielakkan. Sebahagian besar dari jumlah ‘pelaburan’ yang dilakukan oleh Kerajaan terdahulu belum dapat diperolehi semula kerana kita tidak tahu di mana wang tersebut telah pergi.”

Mengenai komen mantan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak terhadap polisi Kerajaan Pakatan Harapan “berundur ke era masa lalu”, Dr Mahathir bertanya jika rakyat mahu kembali ke era pentadbiran Najib?

“Era masa lalu adalah era di mana Malaysia terkenal sebagai Harimau Asia. Adakah beliau (Najib) mahu membawa rakyat ke era di mana negara ini dikenali sebagai kleptokrasi dan diketuai oleh seorang kleptokrat?



PEJABAT PERDANA MENTERI
PUTRAJAYA
27 JULAI, 2018