Sepasang suami isteri dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas tuduhan mengabaikan rawatan untuk anak lelaki mereka berusia 10 tahun sehingga membawa kematian kanak-kanak berkenaan pada 9 Julai lalu.

Tertuduh, Mohammad Zawani Mohammad Jasni, 30, dan isterinya, Azreen Junysar, 29, dari Kampung Rantau Panjang, Klang mengaku tidak bersalah atas tuduhan yang dibacakan di hadapan Hakim Siti Aminah Ghazali.

Berdasarkan kertas tuduhan, pasangan itu didakwa mengabaikan Mohd Luthhakim Abdullah, 10, yang dalam jagaannya daripada mendapat rawatan perubatan dan pemeliharaan yang mencukupi.

Ini menyebabkan kanak-kanak yang juga murid Tahun Empat Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Chung Ching mengalami kecederaan fizikal yang membawa kepada kematian.

Kedua-dua mereka dituduh mengikut Sekyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 dan dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman denda penjara sehingga 20 tahun atau denda tidak melebihi RM50,000 atau kedua-duanya sekali.

BACA: Budak 10 tahun mati dipercayai didera ibu sendiri

Siti Aminah kemudian menetapkan RM15,000 wang ikat jamin bagi setiap tertuduh dengan seorang penjamin dan kes ini akan disebut semula pada 27 Ogos ini bagi membolehkan tertuduh melantik peguam.

Astro AWANI sebelum ini pernah melaporkan mengenai seorang kanak-kanak lelaki berusia 10 tahun meninggal dunia dipercayai didera ibu kandungnya di rumah mereka di Permatang Badak, di sini,

Muhammad Luthhakim disahkan meninggal dunia kira-kira jam 1 tengah hari di Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) selepas dilaporkan tidak sedarkan diri di rumahnya.