Sepasang suami isteri maut selepas kereta jenis Proton Persona yang dinaiki mereka terbabas sebelum merempuh belakang sebuah treler di kilometer 187 arah utara Lebuhraya Utara Selatan (PLUS), di sini, lewat pagi tadi.

Dalam kejadian sekitar 5.40 pagi tadi itu, mangsa Mohd Hairul Abd Jalil @ Sakari, 40, dan isteri Saadah Ab Hamid, 35, disahkan maut selepas tersepit dan mengalami kecederaan parah di bahagian kepala dan kaki.

Komander Operasi dari Balai Bomba Dan Penyelamat (BBP) Jasin Bestari, Pegawai Bomba Kanan 11, Abd Razak Taat berkata pihaknya menerima laporan kecemasan sekitar 5.52 pagi sebelum tiba 15 minit kemudian bersama sebuah jentera Fire Rescue Tender (FRT) membabitkan tujuh anggota.

“Berdasarkan maklumat awal, kereta dinaiki suami isteri itu hilang kawalan sebelum terbabas dan merempuh sebuah treler membawa muatan keluli yang rosak di lorong kecemasan.

“Kita mengambil masa kira-kira 30 minit dengan menggunakan peralatan khas untuk memotong besi kereta bagi mengeluarkan mangsa.

"Bagaimanapun, mangsa disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian oleh pegawai perubatan," katanya ketika dihubungi Astro AWANI.

Tambah Abdul Razak, mayat mangsa yang berasal dari Kempas, Johor telah dibawa ke Hospital Jasin dan diserahkan kepada pihak polis untuk siasatan lanjut.