'Sudahlah sedih, kena balas mesej takziah pula' - adik Mahadzir Lokman

'Sudahlah sedih, kena balas mesej takziah pula' - adik Mahadzir Lokman
Keluarga Datuk Mahadzir Lokman hari ini telah memohon jasa baik semua pihak agar menghentikan segala khabar angin mengenai keadaan pengacara terkenal itu.
KUALA LUMPUR: Keluarga Datuk Mahadzir Lokman hari ini memohon jasa baik semua pihak agar menghentikan segala khabar angin mengenai keadaan pengacara terkenal itu yang ditularkan telah meninggal dunia.

Adik Mahadzir, Ida Lokman, memberitahu Astro AWANI bahawa dirinya sedih dan terkilan apabila tidak henti-henti menerima mesej takziah dari orang ramai.

“Saya tidak faham kenapa ramai orang sibuk menghantar mesej takziah. Sudahlah kami sedang risau dan sedih. Sekarang, kami terpaksa pula membalas semua mesej takziah yang diterima,” katanya.

Ida berkata bahawa ikon penyiaran itu ‘sedang memberi respon kepada rawatan’ walaupun dalam kadar perlahan.
BACA: Mahadzir Lokman masih kritikal, alami komplikasi - adik

BACA: Mahadzir Lokman masih kritikal tetapi stabil - jurucakap keluarga

BACA: Mahadzir Lokman kritikal di PPUM


“Semua tanda-tanda pentingnya adalah baik buat masa ini,” katanya.

Tambahnya, Mahadzir, 60 tahun kini stabil dan masih berada di Unit Rawatan Rapi (ICU) PPUM untuk pemantauan rapat oleh pakar.

“Berdoa sahajalah supaya beliau pulih dengan cepat,” katanya.

Sekitar jam 1.30 petang Isnin, mesej tentang kematian Mahadzir mula tular di media sosial.

Mahadzir dikejarkan ke PPUM sekitar jam 10 pagi Ahad selepas dijumpai tidak sedarkan diri di kediamannya di Petaling Jaya, Selangor.

Adik Mahadzir, Danial ketika dihubungi Astro AWANI pada Ahad memaklumkan Mahadzir terkena jangkitan bakteria selepas pulang dari Jakarta, Indonesia atas urusan kerja tiga hari lalu.