Dari satu tangan ke tangan yang lain. Ketika dunia berdepan ancaman COVID-19, ada yang bimbang untuk berurusan menggunakan wang tunai.

Ini kerana wujud dakwaan wang kertas boleh jadi punca seseorang dijangkiti virus pembunuh itu.

Sejauh mana kebenarannya belum dapat dibuktikan. Namun mencegah itu lebih baik daripada mengubati.

Jika ada alternatif yang lebih selamat, e-dompet adalah jawapannya dan bagi rakyat Sarawak ada Sarawak Pay.

Menteri Muda E-Dagang Sarawak, Datuk Mohd Naroden Majais berkata situasi sekarang tidak perlu diambil ringan dan ini saat terbaik untuk beralih kepada transaksi tanpa tunai.

Beliau syorkan kepada rakyat Bumi Kenyalang untuk guna Sarawak Pay.

"Kita boleh menggunakan telefon pintar kita untuk membuat pembayaran asalkan ada wang dalam bank.

"Ini juga boleh mengelakkan dakwaan sesetengah pihak yang mendakwa COVID-19 boleh berjangkit melalui wang kertas yang kita pegang kerana kita tidak tahu dari mana puncanya," jelas Mohd Naroden.

Ujarnya lagi tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) ini masa terbaik untuk mempelajari dan mengalami sendiri ilmu teknologi itu.

"Anak-anak kita semua ada dalam rumah, kita boleh belajar dengan anak kita kerana mereka lebih tahu," katanya lagi.

Beliau berkata demikian ketika ditemui Wartawan AWANI Sarawak di kediamannya di sini.

Sarawak Pay diperkenalkan pada November 2017 dan setakat 5 Januari lalu ia telah merekodkan 190,400 pengguna dan 11,600 peniaga berdaftar.

Penggunaan aplikasi ini tidak hanya terhad di Sarawak malah boleh juga digunakan di beberapa premis perniagaan di Semenanjung Malaysia.

Baca: Sarawak Pay bantu warga Bumi Kenyalang berurus niaga dengan selamat

Baca: BNM luluskan sistem pembayaran digital Sarawak Pay - Abang Johari

Baca: Sarawak perkenal 'Sarawak Pay', transformasi sistem kewangan