Penubuhan Task Force atau pasukan bertindak akan menyelesaikan isu kesukaran usahawan ibu tunggal mendapatkan lesen perniagaan daripada pihak berkuasa tempatan, kata Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Azizah Muhd Dun.

Beliau berkata, ia kaedah terbaik untuk membantu golongan berkenaan yang mahu menjana pendapatan daripada perniagaan.

Kementerian katanya, juga akan membantu ibu tunggal berkenaan untuk mengembangkan kemahiran dengan pendekatan bersama agensi sedia ada yang menjalankan program pembangunan usahawan.

"Di bawah satu task force yang ditubuhkan di peringkat kementerian yang mana saya pengerusinya yang mana kita mempunyai 34 anggota, NGO dan swasta di mana kita melihat pelbagai cara termasuk masalah-masalah bagaimana membantu ibu tunggal memasarkan produk mereka.

"Kita juga lihat bagaimana mereka dapat memulakan perniagaan termasuk masalah dengan PBT dan setelah selesai, kita akan mengadakan mesyuarat task force lagi sekali dan akan meminta jawatankuasa teknikal yang telah ditubuhkan yang melibatkan pelbagai agensi berkaitan," katanya di Parlimen, di sini, hari ini.

Beliau menjawab soalan tambahan daripada Ahli Parlimen Kota Melaka (DAP), Sim Tong Sim mengenai langkah kementerian membantu ibu-ibu tunggal yang sukar mendapatkan lesen.

Terdahulu, Azizah memberitahu, seramai 2,359 ibu tunggal berjaya meningkatkan pendapatan masing-masing sebanyak 50 peratus selepas menyertai program keusahawanan.

Jelasnya lagi, Program Inkubator Kemahiran Ibu Tunggal (I-KIT) telah melahirkan 2,359 usahawan daripada golongan itu.

Katanya, pendapatan ibu tunggal turut meningkat sebanyak 50 peratus selepas enam bulan menyertai program berkenaan.

Azizah menjawab soalan asal daripada Ahli Parlimen Langkawi (BN), Datuk Nawawi Ahmad mengenai bentuk latihan yang diberikan kementerian kepada ibu tunggal yang ingin menceburi bidang keusahawanan.