23 pelajar termasuk kakitangan Akademi Ikatan Muslimin di nyaris maut apabila bilik simpanan di tingkat satu asrama perempuan sekolah berkenaan terbakar dalam kejadian lewat petang Selasa.

Ketika kejadian sekitar jam 7.30 petang itu kesemua mereka sedang berada di surau bersiap sedia untuk mengejarkan solat Maghrib.

Timbalan Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak, Sayani Saidon berkata, ketika pihaknya tiba ke lokasi kejadian bangunan asrama tersebut telah 20 peratus terbakar.

“Tindakan awal yang pantas daripada kakitangan dan juga pelajar yang menginap di sini dapat membantu membendung kebakaran tu daripada merebak.

“Pihak kami mengerahkan tiga jentera termasuk sebuah water tanker untuk memadam api terbabit,” katanya yang ditemui selepas melawat sekolah berkenaan.

23 individu yang berada di Akademi Ikatan Muslimin itu merupakan 19 orang pelajar perempuan,dua warden wanita, seorang kakitangan dan seorang pelajar lelaki.

Tambah Sayani, sekolah berkenaan sepatutnya mengadakan latihan kebakaran pada 14 Februari lalu tetapi ditangguhkan kerana sekolah berkenaan sedang mengadakan peperiksaan.

Punca kebakaran dan jumlah kerugian sedang disiasat.