Kementerian Luar hari ini mengesahkan tiada rakyat Malaysia yang terkorban atau cedera dalam letupan semasa konsert di Arena Manchester, Manchester, England.

Kementerian itu dalam satu kenyataan berkata ia akan memantau rapi insiden itu dan menasihatkan warga Malaysia yang tinggal di sekitar kawasan terlibat untuk sentiasa berjaga-jaga dan mematuhi arahan diberikan oleh pihak berkuasa tempatan.

Wisma Putra juga menggesa mereka yang memerlukan bantuan supaya menghubungi Suruhanjaya Tinggi Malaysia di London di alamat 45-46 Belgrave Square , London SW1x 8QT atau di talian +44 207 235 803 atau emel [email protected].

Kementerian itu juga mengucapkan takziah kepada keluarga mangsa letupan berkenaan.

Dilaporkan sekurang-kurangnya 22 orang, termasuk kanak-kanak terkorban dan 59 cedera dalam letupan bom sebaik sahaja mereka yang menonton persembahan penyanyi Amerika Syarikat Arianna Grande, beredar dari tempat konsert itu .

Pihak polis menyifatkan letupan itu sebagai satu serangan pengganas, menurut laporan media.

-- BERNAMA