Tindakan pihak yang menghina Angkatan Tentera Malaysia (ATM) disifatkan perbuatan jijik dan tidak boleh diterima sama sekali.

Demikian tegas Menteri Pertahanan Mohamad Sabu yang mengatakan, pasukan pertahanan itu seharusnya dipandang tinggi atas pengorbanan selama ini dalam memastikan keamanan negara.

"Apabila seorang jutawan mengatakan tentera makan, tidur, elok jadi peneroka Felda. Rakyat melenting. Pelbagai pihak membela angkatan tentera. Saya melihat isu perkauman dimainkan.

“Apabila seorang Melayu Islam mengkritik angkatan tentera, netizen diam, tetapi apabila ada orang Tionghua (berkata yang sama), rakyat melenting.

"Kita tidak kira apa-apa kaum. Menghina angkatan tentera ialah satu perkara jijik dan tidak boleh kita terima," katanya dalam ucapan pada Majlis Pelancaran Sambutan Hari Kebangsaan Kementerian Pertahanan di ibu negara pagi ini.

BACA: Fahami peranan, pengorbanan Angkatan Tentera Malaysia

Terdahulu, beliau hadir pada perhimpunan dan pelancaran Kempen Kibar Jalur Gemilang sempena sambutan Bulan Kebangsaan 2019 di Dataran Wisma Pertahanan, Kementerian Pertahanan, Jalan Padang Tembak di sini.



BACA: Polis akan panggil Dong Zong, Koon Yew Yin, Zakir Naik - Muhyiddin

Mohamad berkata, tentera juga menjadi tulang belakang kepada operasi menyelamat apabila Malaysia mahupun negara jiran menghadapi krisis atau bencana.

Mereka juga berada di serata dunia, katanya, berkhidmat di bawah panji Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) untuk misi keamanan sejagat.


Saya mengambil serius sebarang tindakan menghina anggota tentera tanpa mengira kaum.


BACA: Apa benar tentera kita hanya makan dan tidur?

Begitu juga, tambahnya, aset-aset ketenteraan bukan sahaja digunakan untuk pertahanan, tetapi juga untuk pelbagai operasi semasa aman.

"Yang jelas dan pasti, ATM adalah barisan hadapan kerajaan bagi menangani pelbagai isu keselamatan di peringkat domestik dan antarabangsa.

"Apabila negara aman, rakyat dapat melakukan aktiviti harian dengan selamat tanpa perlu risau ditembak atau dibom seperti sesetengah negara lain.

"Pelabur luar dan pelancong juga akan datang ke Malaysia apabila mengetahui negara ini dalam keadaan aman."

BACA: Perkasa gesa dua tokoh disiasat Akta Hasutan


Pada Khamis, 50 ahli daripada tiga cawangan Persatuan Veteran Angkatan Tentera Malaysia (PVATM) membuat laporan polis di Pahang terhadap ahli perniagaan Koon Yew Yin, yang dikatakan telah menghina maruah pasukan tentera di laman sosial.

Ketua PVATM Cawangan Paya Besar Abdullah Seman mendesak supaya tindakan tegas diambil terhadap Koon, bagi memelihara martabat tentera yang menggadai nyawa mereka untuk keselamatan negara.

Pada Selasa, media melaporkan Koon telah memuat naik kenyatan mendakwa anggota tentera sepatutnya menggantikan pekerja asing di ladang, kerana seperti diketahuinya anggota itu hanya makan dan tidur, dengan majoriti tidak pernah melepaskan tembakan melainkan ke arah papan sasaran.