Tiga orang lelaki yang terdiri daripada dua warga Indonesia dan seorang warga tempatan telah ditahan untuk siasatan lanjut berikutan penemuan sepucuk pistol buatan sendiri di sebuah rumah di Sungai Metapus, Mukah, Sarawak pada Rabu lepas.

Menurut Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Sarawak, Datuk Dev Kumar, turut ditemui ialah 94 butir peluru, di mana suspek pertama iaitu seorang lelaki warga Indonesia berusia 40 tahun yang berasal dari Pontianak berusia telah ditahan polis di hadapan sebuah pasar raya di bandar Mukah.

Suspek ditahan untuk membantu siasatan bagi kes pecah rumah dan kecurian yang berlaku di daerah berkenaan pada Jun lalu sebelum menemui pistol berkenaan ketika suspek dibawa kerumahnya di sebuah kilang sagu.

"Apabila suspek dibawa ke rumahnya di kilang sagu, di Kampung Sau, polis menemui pistol buatan sendiri dan 94 butir peluru 9mm di mana pada sebelah malamnya iaitu kira-kira jam 7.15 malam, suspek kedua pula ditahan," katanya dalam satu kenyataan.

Suspek kedua, seorang lagi lelaki Indonesia berusia 40 tahun telah ditahan di sebuah ladang kelapa sawit di Balingian manakala suspek ketiga ditahan pada malam tadi sekitar jam 10.30 malam.

"Polis turut menahan lelaki tempatan berusia 40 tahun di medan selera di bandar Mukah pada 10.30 malam tadi untuk membantu siasatan," jelasnya lagi.

Disamping itu, Dev turut menyatakan bahawa pihak polis masih menyiasat bagaimana senjata itu diperoleh serta menyiasat kegunaannya.

Katanya, kes tersebut disiasat mengikut Seksyen 8, Akta Senjata Api 1971.