Waris kepada keluarga yang terlibat dalam tragedi Lenggong berkata mereka menyerahkan kesemua siasatan kepada pihak berkuasa untuk mengetahui punca sebenar insiden berkenaan.

Namun, Muhd Hafiz Ismail, 27, abang kepada tiga beradik yang maut dalam kemalangan itu berkata, perbualannya dengan beberapa saksi memberi bayangan bahawa lori muatan ikan tersebut dipandu dengan laju.

Katanya, perbualan bersama saksi yang membantu memayungkan jenazah adik-adiknya juga memberitahu bahawa pemandu lori berusia 24 tahun itu memandu lorinya dalam kelajuan tinggi.

BACA: "Lori 'sapu' semua kereta, mayat kanak-kanak bergelimpangan" - Saksi

"Itu saja saya nak tahu, mengapa brek gagal berfungsi dalam insiden berkenaan, saya nak tahu kebenaran. Tapi semuanya saya serahkan kepada pihak berkuasa," katanya ketika ditemui Astro AWANI pada petang Isnin di Hospital Taiping.

Ketika ditemui, Muhd Hafiz yang kelihatan letih itu berkata, seisi keluarganya sempat bermalam di rumahnya di Baling, Kedah sebelum bertolak dalam perjalanan mereka.

Beliau yang bertugas sebagai inspektor kesihatan di Pejabat Kesihatan Baling berkata, dia berasa hairan apabila mendapat berita mengenai kemalangan yang meragut tiga nyawa adiknya serta menyebabkan ayahnya kritikal.

"Saya hairan, kenapa mereka di Lenggong, selepas itu baru saya dapat tahu ayah berpatah balik di R&R Peroh, kerana ingin mencari durian yang diinginkan adik kembar saya.

"Itulah kali terakhir saya berbual dengan adik kembar dan saya tidak sangka perjalanan mengambil Ain Hafizah dari Sungai Petani untuk bercuti bersama keluarga akan berakhir begini," katanya sebak.

Kembar Muhd Hanif dan Nur Ain Hanifah, 8, bersama kakak mereka Nur Ain Harizah, 13, dan Nur Ain Hafizah, 22. - Gambar ihsan keluarga
'AYAH KRITIKAL, HARAPAN TIPIS'

Sewaktu ditemui, Muhd Hafiz baru sahaja diberitahu bahawa ayahnya, Ismail Yaacob, 53, kini berada dalam keadaan kritikal dan doktor memberitahu bahawa harapan ayahnya untuk hidup adalah amat tipis.

"Doktor beritahu, ada pilihan untuk pembedahan namun pendarahan dalaman di otak ayah adalah amat teruk, jadi saya tak sanggup untuk tahu ayah tidak akan hidup secara normal selepas ini.

"Saya dah buat keputusan, sekiranya tiada sebarang perkembangan, saya redha ayah pergi dan temankan adik-adik saya, sebab saya tahu yang baring di atas tilam wad itu bukan lagi ayah, tetapi hanya mesin yang membantu untuk terus bernafas," katanya lagi.

Dalam kemalangan kira-kira pukul 11 pagi Ahad, sebuah lori muatan ikan merempuh sekurang-kurangnya tiga kenderaan lain berhampiran lampu isyarat MRSM Lenggong.

Menurut laporan, pemandu dan kelindan lori tidak mengalami sebarang kecederaan.

Semalam, Ketua Polis Daerah Gerik, Supt Ismail Che Isa mengesahkan pemandu lori itu telah dipanggil bagi siasatan dan kes akan disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

BACA: Tragedi Lenggong: "Tunggu Mama di syurga..."

BACA: 'Tak sempat peluk, cium kali terakhir'

BACA: Kanak-kanak kembar antara tiga beradik terkorban

BACA: Tiga maut dirempuh lori ikan