"Bukan saya yang menjadi mangsa tembakan di New Zealand."

Demikian penjelasan Haikal Syukri Abdullah, 31, yang menafikan terlibat dengan insiden serangan di dua masjid di Christchurch, New Zealand pada Jumaat.

Haikal Syukri yang berada di rumahnya di Kampung Jagoi Duyoh dekat Bau terkejut dengan berita itu selepas dimaklumkan oleh adik perempuannya kira-kira 8.30 malam.

"Pada 8.30 malam 15 Mac semalam, dapat maklumat daripada kawan tanya betul atau tidak, sama ada saya di sana atau tidak. Lepas itu, pihak polis ada menghubungi saya bertanyakan perkara sama.

"Selepas dapat banyak panggilan, WhatsApp, saya ambil keputusan untuk buat laporan polis di IPD Bau," kata Haikal

Gambar pasport Haikal Syukri tular di media sosial dan dia dipercayai antara empat rakyat Malaysia yang cedera dalam insiden berdarah itu.

Haikal Syukri mendedahkan tidak pernah kehilangan dokumen perjalanan itu, malah dia baru sahaja memiliki pasport pada 26 Februari lalu.

Sekurang-kurangnya 40 maut, 20 termasuk empat rakyat Malaysia cedera parah dalam tragedi berdarah pada Jumaat.