Polis menahan seorang lelaki warganegara Singapura dipercayai terlibat dengan kes pembunuhan, susulan penemuan lapan bahagian anggota badan manusia yang dibuang ke dalam semak di kawasan perindustrian, Krubong berhampiran Kampung Ladang, di sini petang semalam.

Ketua Polis Melaka, Datuk Mat Kasim Karim berkata, suspek yang dipercayai ada kaitan dengan mangsa itu berjaya ditahan dengan kerjasama pihak polis dari Singapura dan dalam proses untuk membawa pulang ke negara ini.

“Berdasarkan maklumat risikan, tempat kejadian di percayai berlaku di rumah teres dua tingkat milik mangsa di Taman Merdeka Jaya dan pihak polis menjumpai kesan darah dibilik bawah kediaman tersebut.

“Pada hari ini, dengan kerjasama polis Singapura suspek iaitu seorang lelaki Melayu yang disyaki terlibat dalam kes ini telah di tahan oleh pihak berkuasa Singapura di sana,” katanya dalam kenyataan kepada media hari ini.

Mengulas lanjut, waran tangkap telah di pohon dan usaha untuk membawa suspek ke Malaysia sedang di jalankan.


Foto PDRM

Sementara itu, media sosial hari ini tular mengenai satu laporan pembunuhan seorang wanita berusia 27 tahun dan anak lelakinya berusia 11 tahun yang dipercayai dibunuh oleh suaminya sendiri yang merupakan warga Singapura.


Pembunuhan itu dikaitkan dengan mayat individu dipercayai lebih daripada seorang yang menjadi mangsa bunuh apabila bahagian tubuh ditemui berselerakan sekurang-kurangnya lapan bahagian di kawasan semak Kampung Ladang, Krubong, semalam.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah negeri, Asisten Komisioner Mohd Nor Yhazid Idris bagaimana pun ketika dihubungi Astro AWANI enggan mengesahkan perkara berkenaan sehingga selepas proses bedah siasat.

“Proses bedah siasat kita hanya akan ketahui esok,” katanya ringkas.

Anggota badan

Astro AWANI semalam melaporkan, polis menemui lapan bahagian anggota badan manusia dipercayai milik lebih seorang individu yang dibuang ke dalam semak.


Mangsa yang dipercayai mangsa pembunuh itu dipercayai dibunuh di lokasi lain sebelum anggota-anggota badannya di buang ke dalam kawasan semak berkenaan.